Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia berpendirian bahawa anggotanya tidak harus menjadi sasaran apa-apa tindakan hanya kerana tulisan di Facebook.
Presiden kesatuan itu, Hashim Adnan berkata, mana-mana pihak tidak boleh menetapkan apa yang patut dan tidak patut ditulis kerana tulisan di laman berkenaan adalah "hak peribadi" guru terbabit.
"(Tulisan) Facebook ini hak individu... Siapa-siapapun jangan sentuh. (Kalau) dia sentuh dia tak faham apa maksud kebebasan," katanya ketika dihubungi Malaysiakini .
Beliau mengulas teguran oleh Kementerian Pendidikan ke atas seorang guru yang memuatkan poster pemimpin muda DAP Dyana Sofya Mohd Daud di laman Facebook.
Biar Facebook itu jadi ruang kepada semua, jadikan Facebook sebagai ruang untuk bersosial, bukan nak dipilih gambar ini tak boleh, kemudian nak ambil tindakan, itu (pemikiran yang) sangat cetek.
"Jika orang baca tak semestinya mereka ikut. Biar dia baca, apa salahnya?," kata Hashim lagi.
Bagaimanapun, guru berkenaan perlu bertanggungjawab sepenuhnya jika mereka memuatkan perkara yang bersifat menghasut.
Ditanya mengenai seruan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor semalam agar para guru kembali ke pangkuan BN, Hashim berkata perkara itu juga tertakluk kepada kebebasan individu.
Katanya, mana-mana guru yang berminat untuk menyertai politik boleh memilih parti yang disukai, sama ada dari parti kerajaan atau pembangkang.
Namun, guru berkenaan perlu memastikan bahawa mereka kekal profesional pada setiap masa.
"Harap mereka profesional dalam perkara ini, jangan (biar) fahaman politik disalahgunakan masuk bilik darjah disebarkan masa mengajar, katanya.
Sekatan ke atas golongan guru dari menyertai politik secara aktif digugurkan pada tahun 2010.