Para pegawai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menyatakan kesediaan untuk mengadakan demonstrasi memakan coklat kontroversi keluaran Cadbury Confectionery Sdn Bhd bagi membuktikan status halal produk berkenaan.
Laporan laman Astro Awani menyebut, pengarah kanan bahagian hab halal JAKIM, Mohd Amri Abdullah berkata ia bagi menunjukkan bahawa jabatan itu berpegang kepada keputusan yang dikeluarkan semalam.
"Sebagaimana yang disebutkan bahawa status Cadbury yang diputuskan adalah halal. Kalau diminta kami makan coklat Cadbury kami yakin bahawa apa yang diberikan status pensijilan itu adalah halal sepenuhnya.
"Dalam hal ini, ia memerlukan keyakinan yang begitu utuh, yang begitu kuat untuk menentukan konsep halal.
"Kalau di pihak pengguna jika adanya was-was, adanya keraguan yang melampau, lebih baik tinggalkan," katanya seperti dipetik dalam laporan Astro Awani pagi ini.
Tambahnya, keputusan itu berdasarkan hasil ujian Jabatan Kimia yang tidak menemui sebarang DNA babi dalam dua jenis produk terbabit.
"Untuk keputusan pensijilan halal ini, pihak Jakim hanya menggunakan makmal Jabatan Kimia yang dibenarkan sahaja.
"Standard dan prosedur yang Jakim gunakan untuk memberikan pensijilan halal ini adalah sama dengan apa yang digunakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia," katanya.