Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Semua peniaga perlu menghentikan jualan dua produk coklat Cadbury yang mengandungi DNA khinzir (porsin) sehingga analisis Jabatan Kimia terhadap sampel itu diperoleh Rabu ini kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hasan Malek.

    

Beliau berkata jika terdapat premis yang masih menjual kedua-dua produk itu, tindakan tegas akan diambil.

    

"Saya memandang serius perkara ini, dan sekiranya terdapat premis yang mengingkari, saya boleh denda mereka di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 dengan denda maksimum RM1 juta, tidak kira sama ada penjual di peringkat runcit, pengedar atau pengilang," katanya kepada pemberita ketika menghadiri majlis perasmian dan makan malam anjuran Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) di ibunegara semalam.

Kementerian Kesihatan sebelum ini mengesan porsin dalam Coklat Susu dengan Kacang Hazel dan Coklat Susu dengan Buah Badam bagi kelompok produk NO200813M01H I2 bertarikh luput 13 Nov 2014 dan kelompok 221013N01R I1 bertarikh luput 15 Januari 2015.

    

Dalam pada itu, Hasan Malek berkata setakat ini, pihaknya memantau 175 premis di seluruh negara dan mendapati peniaga tidak lagi menjual coklat itu.

    

"Pemeriksaan itu menunjukkan hasil positif apabila kesemua premis terbabit termasuk di zon bebas cukai, pasar raya dan lapangan terbang didapati tidak lagi menjual coklat tersebut," katanya.

    

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS