Menjelang hari mengundi esok, ribuan hadirin membanjiri ceramah kemuncak DAP yang diadakan di dataran Jalan Mahkota di bandar Teluk Intan.
Kira-kira 10,000 orang membanjiri dataran tersebut untuk mendengar ceramah pemimpin Pakatan Rakyat, sehingga melimpah ke jalan utama dan ada juga menonton dari laluan jalan kaki rumah kedai berhampiran.
Jumlah hadirin bertambah ramai dengan lebih ramai pemimpin kanan DAP datang kemudian pada waktu malam, termasuk calon Dyana Sofya Mohd Daud.
MP DAP Seremban, Anthony Loke menggesa orang ramai untuk meminta semua rakan mereka yang merupakan pengundi di Teluk Intan supaya balik mengundi esok.
Mengundi bermula pada pukul 8 pagi esok di 37 daerah mengundi bagi lebih 60,000 pengundi.
Kesesakan lalulintas lebih 1km berlaku di sepanjang Jalan Changkot Jong menandakan bahawa pengundi luar kawasan dalam perjalanan pulang ke Teluk Intan.