Ketua Wanita DAP Chong Eng berkata, pesalah kes rogol sepatutnya dikenakan hukuman kembiri secara kimia untuk mengelak kes seperti rogol berkumpulan oleh 38 orang lelaki di Ketereh, Kelantan berulang.
Katanya, kes terpencil itu menunjukkan negara memerlukan undang-undang yang lebih tegas ke atas pesalah kes rogol.
"Saya menggesa semua MP dari kedua-dua belah piahk untuk memperbaiki undang-undang berkaitan supaya memperkenalkan pengembirian kimia ke atas pesalah rogol untuk mengelakkan mereka daripada mengulagi kesalahan, dan juga sebagai pencegahan kepada yang lain," katanya.
Pengembirian seperti oti melibatkan pengambilan ubat untuk mengurangkan keinginan seks pesalah tersebut.
Tambahnya, beliau tidak bersetuju dengan hukuman bunuh untuk pesalah kes rogol.
Katanya, tumpuan juga perlu diberikan pada usaha mengenalpasti suspek, mengumpul bahan bukti dan kecekapan pendakwaan bagi memastikan keadilan pada mangsa.
Katanya polis perlu bertindak untuk memastikan suspek yang terlibat dalam jenayah kejam melibatkan gadis bawah umur itu tidak terlepas dari pengadilan.
Chong yang juga anggota Exco Pulau Pinang berkata, kes itu membuktikan bahawa rogol tidak berpunca daripada pakaian seksi wanita tetapi mangsa dikenalpasti oleh suspek yang melaksanakan jenayah itu melalui perancangan terperinci.
Sementara itu, ketua Wanita MIC menggesa pihak berkuasa bertindak segera untuk membendung jenayah seperti itu.
Ketua Wanita MIC Mohana Muniandy berkata keganasan ke atas wanita bukan hanya isu wanita tetapi juga satu isu hak asasi manusia.
“Wujud keperluan untuk mempromosi dan melindungi keselamatan wanita dan anak gadis di Malaysia. Setiap anak gadis dan wanita seharusnya dalam hidup dengan selamat dan bebas dari keganasan," katanya.
"Jenayah ini perlu dihentikan – gangguan seksual dan keganasan tidak boleh ditolak ansur. Kami menggesa agar hasrat politik ini diterjemah kepada tindakan konkrit dan pelaksanaan lebih kukuh ke atas undang-undang dan peraturan sedia ada," katanya dalam satu kenyataan.
Mohana juga menggesa para pembuat undang-undang, pois dan kerajaan untuk melakukan sedaya mungkin untuk menjalankan reformasi politik, memastikan keadilan dan melaksana perkhidmatan awam yang kukuh demi keselamatan golongan wanita.
Polis kini sedang memburu saki-baki suspek yang terbabit dalam kes berkenaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan, katanya.
Dalam kejadian 7.30 petang itu, seorang pelajar perempuan berusia 15 tahun dari Kuala Krai dan gadis berusia 17 tahun yang tidak bersekolah dari Ketereh itu mendakwa dirogol secara bergilir-gilir oleh 38 lelaki di sebuah rumah kosong yang dijadikan tempat penagih dadah melepaskan gian.
Menurut polis, pasukan itu menahan seorang bapa bersama dua anaknya adalah antara 14 yang ditahan bagi membantu siasatan kes rogol berkenaan.