Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang sedang dalam rangka lawatan rasmi ke China, akan pulang ke Malaysia malam ini untuk memberi penghormatan terakhir kepada Sultan Perak, Sultan Azlan Shah, yang mangkat hari ini.
Jurucakap Pejabat Perdana Menteri berkata, Najib dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor akan pulang sejurus selepas menghadiri satu majlis di Beijing.
Selepas memberi penghormatan terakhir kepada almarhum di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar esok, mereka akan kembali ke Beijing untuk menyambung lawatan rasmi enam hari yang bermula semalam sempena ulang tahun ke-40 hubungan diplomatik dijalin antara Malaysia dan China.
Pada sebelah pagi esok, perdana menteri beliau sepatutnya menaiki kereta api laju untuk ke Tianjin yang mengambil masa perjalanan 33 minit dengan beliau akan menyaksikan upacara pecah tanah projek penyulingan air laut dan penghasilan garam Xianda's Integrated Seawater Desalination and Salt Making di Zon Perindustrian Nangang.
Menteri Pertahanan yang juga pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dijangka mewakili beliau pada majlis itu.
Jurucakap itu berkata pertemuan dua hala antara Perdana Menteri dan rakan sejawatnya Li Keqiang yang dijadualkan petang esok akan diteruskan mengikut jadual.
Semasa di Beijing, beliau juga dijadual menghadiri sidang kemuncak ekonomi dengan para usahawan China, manakala acara kemuncak bagi lawatan ini adalah majlis sambutan ulang tahun ke-40 hubungan diplomatik Malaysia-China di Greal Hall of People pada Sabtu.
Sultan Azlan Shah, 86, mangkat pada pukul 1.30 tengah hari ini, dan jenazah baginda akan dimakamkan di Makam Diraja Kuala Kangsar selepas solat Asar esok.
Baginda yang telah memerintah Perak selama tiga dekad sejak ditabalkan pada 3 Februari 1984, akan disemayamkan di Balairong Seri Istana Iskandariah, Kuala Kangsar untuk penghormatan terakhir.
Sementara itu Orang ramai yang ingin memberi penghormatan terakhir kepada jenazah Almarhum Sultan Azlan Shah esok perlu mematuhi beberapa garis panduan berpakaian.
Menurut kenyataan Pejabat Menteri Besar Perak hari ini, lelaki Islam perlu memakai pakaian kebangsaan berwarna gelap, bersamping warna gelap tanpa corak benang emas atau perak serta bersongkok hitam dengan lilitan kain putih atau riben selebar satu inci.
Lelaki bukan Islam pula perlu memakai sut berwarna gelap dengan bertali leher hitam atau berseluar panjang dan berbaju tangan panjang dengan dililit kain hitam (toha) berukuran tiga inci lebar di lengan baju tangan kiri.
Sementara itu, perempuan Islam pula perlu berbaju kurung atau berkain sopan dan bertudung hitam.
Perempuan bukan Islam pula hendaklah berpakaian sopan serta memakai lilitan kain hitam (toha) berukuran tiga inci lebar di lengan baju kiri.
Penghormatan terakhir oleh orang ramai diadakan mulai jam 11 pagi hingga 2 petang esok di Balairong Seri Istana Iskandariah di Kuala Kangsar.
- Bernama