Kegiatan kongsi gelap dianggap sebagai sebab utama kekecohan di beberapa pemilihan cabang PKR di Selangor dua minggu lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) Datuk Johari Abdul berkata maklumat siasatan jawatankuasa itu mendapati penggunaan kongsi gelap bertujuan mensabotaj pemilihan parti sekurang-kurangnya di cabang Kota Raja dan Kuala Langat.
Johari berkata insiden 'serangan terhadap tong-tong undi' tersebut sedang dalam siasatan JPP yang menerima banyak bukti video berkaitan perkara tersebut.
"Isunya sekarang adalah kenal pasti individu A, B dan C yang terlibat. Jika (siasatan) dapat tunjukkan makan tindakan susulan akan diambil termasuk membuat laporan polis," tegas beliau dalam sidang media di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya hari ini.
Pada 11 Mei lalu, kekecohan berlaku ketika pemilihan beberapa cabang PKR di Selangor terpaksa dibatalkan ekoran pelbagai dakwaan termasuk sabotaj dan tidak telus.
Cabang-cabang yang terlibat ialah Subang, Hulu Langat, Sabak Bernam, Kuala Langat, Sepang, Klang, Kuala Selangor, Kota Raja, Shah Alam, Kapar, Sungai Besar dan Selayang.
Hingga kini 35 cabang PKR seluruh negara bakal mengadakan pemilihan semula kerana pelbagai masalah.
Johari membayangkan seolah penggunaan ahli kongsi gelap ini dirancang oleh pihak tertentu sama ada dari dalam atau luar parti kerana seolah menggunakan modus operandi sama dalam kekecohan yang berlaku.
Antaranya ialah serbuan masuk ke dalam pusat pengundian selepas jam 2.30 petang dan mensasarkan tong-tong peti undi,
"Mereka kemudiannya menendang dan cuba memastikan kertas undi bertaburan. Tujuannya mungkin nak membatalkan pengundian.
"Sama ada mereka ini diminta berbuat demikian oleh sesiapa atau mereka memang berlatih menendang kotak undi," kata beliau berseloroh.
Johari bagaimanapun gagal menjelaskan kumpulan kongsi gelap mana yang memulakan kekecohan ini.
"Saya harap saya tau. Tapi ia macam terancang, maknanya sama ada orang yang kalah atau calon yang rasakan dirinya hendak kalah atau pun memang ada satu kumpulan yang terlatih untuk menendang peti undi," katanya lagi.
Sementara itu pengerusi panel aduan dan bantahan JPP Abdul Malek Hussen berkata pihak beliau sedang mengumpulkan bukti secukupnya berkaitan perkara tersebut,
Bagaimanapun beliau berkata pihaknya menapis bukti yang diberikan bagi memastikan semua bukti yang sahih sahaja boleh diterima oleh JPP.
"Kita kena tengok kalau bukti video itu datang dari mana siapa yang ambil. Kita kena tengok bukti itu 'admissible' (sahih) atau tidak dulu," kata beliau.