TELUK INTAN Calon BN Datuk Mah Siew Keong hari ini mendakwa poster kempennya dalam pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan telah diconteng dengan cat hitam dan tertera perkataan 'bodoh'.
Beliau kesal ia berlaku dan tidak sepatutnya dilakukan oleh mana-mana pihak.
"Kami juga punya emosi dan penyokong kami sangat marah," katanya kepada pemberita selepas meninjau perjalanan pengundian awal PRK Teluk Intan di Dewan Serbaguna Ibu Pejabat Polis Daerah Hilir Perak hari ini.
Dalam pengundian awal itu seramai 410 orang mengundi yang kebanyakannya anggota polis dan keluarga mereka.
"Bagi saya ini bukan budaya kita di Teluk Intan kerana setiap kali berlangsung pilihan raya sebelum ini keadaan ini tidak pernah berlaku," kata Mah yang bertanding dalam PRK Parlimen Teluk Intan.
Mah berkata sebelum ini posternya hanya diconteng dengan cat hitam, tetapi hari ini beliau mendapat ada perkataan 'bodoh'.
Beliau turut menerima banyak khidmat pesanan ringkas (sms) daripada orang ramai yang memaklumkan kepadanya mengenai poster yang telah diconteng terutama di kawasan Jalan Sungai Nibong.
Mah berkata beliau sentiasa mengingatkan penyokongnya supaya berkempen dengan baik, malah poster calon DAP Dyana Sofya Mohd Daud tidak ada yang dirosakkan atau diconteng.
Beliau menyifatkan perbuatan itu sebagai satu provokasi, dan berharap ia dihentikan bagi memastikan kempen PRK berjalan dengan bersih dan lancar memandangkan pengundian Sabtu ini.
Menyentuh kritikan pembangkang terhadap manifesto yang dilancarkannya, Mah berkata manifesto itu mengambarkan apa yang telah dilakukannya semasa menjadi wakil rakyat Teluk Intan pada 1999 hingga 2008 dan apa yang akan diusahakan jika dipilih sebagai anggota Parlimen Teluk Intan.
PRK Parlimen Teluk Intan menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara Mah dan Dyana Sofya.
- Bernama