Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini menggesa anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) turun beramai-ramai mengundi di Teluk Intan dan menyokong calon BN, Datuk Mah Siew Keong.
Menurutnya, Umno Bagan Datoh berkempen di kawasan unit peti undi Pekan Baru, Teluk Intan dan beliau akan 'tahu' identiti anggota RELA yang tidak turun mengundi kelak.
Menurutnya, RELA Teluk Intan mempunyai 35,217 anggota dan jumlah yang layak mengundi adalah seramai 8,639 orang.
Namun, lebih 2,000 orang anggota jabatan sukarelawan di bawah Kementerian Dalam Negeri itu didapati tidak turun mengundi pada pilihan raya umum lalu.
"Jangan main-main dengan saya. Saya tahu siapa yang mengundi dan siapa yang tak mengundi," katanya berjenaka sewaktu berucap di sekolah Kebangsaan Kampung Selabak, Teluk Intan.
Janji Zahid, sekiranya calon BN, Datuk Mah Siew Keong menang di Teluk Intan, semua anggota RELA yang belum dapat pakaian seragam baru akan diberikan seragam itu dengan segera.
"Kalau Datuk Mah Siew Keong menang di Teluk Intan, saya bagi dengan segera pakaian celoreng ini.
"Kalau kalah, beli sendiri," kata beliau disambut hilai tawa dari kira-kira 2,000 hadirin yang sebahagian besarnya hadir dengan uniform RELA.
Beliau turut berjanji akan menyumbangkan dua ekor lembu secara peribadi dan seekor lagi lembu tambahan dari seorang pemimpin Umno tempatan untuk kenduri, jika BN menang di Teluk Intan.
Untuk masyarakat India pula, tiga ekor kambing akan disumbangkan oleh Presiden Malaysian Indian United Party (MIUP), Datuk S Nallakaruppan, kata Zahid.