Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Nombor telefon timbalan KM PP digodam
Diterbitkan:  May 24, 2014 1:24 PM
Dikemaskini: 7:01 AM

Empat pemimpin DAP Pulau Pinang hari ini membuat laporan polis mendakwa telefon bimbit mereka digodam untuk menghantar mesej berbaur perkauman menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) Bukit Gelugor Ahad ini.
 
Timbalan Ketua Menteri P Ramasamy mendakwa nombor telefon beliau digunakan menghantar mesej berbunyi: "Ingat pengundi Sg Gelugor/Kg Melayu gerai kamu akan dirobohkan selepas PRK".
 
Exco Pulau Pinang Phee Poon Boh pula menyatakan mesej yang menggunakan nombor telefon beliau berbunyi "MCA telah menyerah kalah GERAKAN Pulau Pinang bila lagi? Lepas ini kita akan jadikan P. Pinang seperti Singapore."
 
ADUN Seri Delima RSN Rayer dan ADUN Padang Lalang Chong Eng turut membuat laporan polis bahawa nombor mereka digunakan mengutuk kaum lain di negeri itu.
 
Chong Eng dan Ramasamy membuat laporan di Balai Polis Bukit Mertajam, Rayer di Balai Polis Jelutong dan Phee di Balai Polis Timur Laut pagi ini.
 
Mereka meminta semua yang menerima mesej sedemikian untuk membuat laporan polis dan syarikat telekomunikasi dan meminta tindakan diambil bagi meningkatkan sekuriti telefon bimbit.
 
Sementara itu Chong Eng berkata pimpinan DAP mungkin akan menukar syarikat telekomunikasi mereka lantaran semua nombor yang digodam selama ini menggunakan dua syarikat telekomunikasi yang sama.
 
"Semua terlibat menggunakan nombor 012 dan 019. Jika syarikat tidak ambil langkah seterusnya kami akan ambil langkah tukar syarikat lain," kata beliau kepada wartawan.
 
Sebelum ini ketika PRK Kajang sebelas nombor telefon milik pimpinan dan petugas PKR telah digodam oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
 
Antara pimpinan PKR yang digodam adalah Ahli Parlimen Gombak, Azmin Ali, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar, Ahli Parlimen Batu, Tian Chua serta Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh.
 
Selain dari itu turut menjadi mangsa adalah, Ahli Parlimen Bukit Katil, Shamsul Iskandar Md Akin; Adun Simpang Pulai, Tan Kar Hing; Adun Seri Muda, Suhaimi Shafiei dan juga beberapa petugas PKR.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS