Selepas ibu pejabat DAP semalam, pejabat parti itu di Kuantan pula hari ini menjadi sasaran serangan sekumpulan individu.
Identiti mereka setakat ini belum jelas tetapi berdasarkan kain rentang yang dipamer dan jaketnya menggambarkan kumpulan itu aktivis NGO dan anggota Pemuda Umno Bentong.
Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin hari ini berkata telah mengarahkan anggota sayap kanan parti itu untuk bertenang.
Memakai kain ikat kepada mereka, mereka mengibarkan bendera Pahang dan membawa plakad dan kain rentang menyifatkan DAP sebagai “rasict” ( sic ) dan “celaka”.
Antara kain rentang dikesan juga bertulis: Jangan bermain dengan api, orang Melayu jangan dicabar”.
Berdasarkan video yang dimuat naik, kelihatan seorang lelaki meluru ke arah pintu pejabat dan menendangnya ala kung fu.
Kelihatan juga seorang lelaki menggunakan kayu untuk memukul papan tanda DAP.
Saksi kejadian Kamarul Hatta Mohamed Ali berkata, perhimpunan jam 3 petang itu disertai pemimpin Pemuda Umno Indera Mahkota.
Kamarul berkata, protes itu “agak ganas” dan kira-kira 20 biji telur dibaling.