Wakil rakyat DAP RSN Rayer yang menjadi sasaran kemarahan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang kelmarin berkata beliau juga dimaki dengan kata-kata kesat tetapi tidak menghiraukannya.
“Mereka panggil saya pelbagai nama, haram jadah, paria... Lebih baik bahaskan isu ini,” kata Rayer ketika ditemui di DUN semalam.
Beliau merujuk kepada tindakan sekumpulan individu yang menceroboh DUN untuk mencarinya, antaranya kerana menggelar pemimpin Umno celaka.
Kumpulan itu sebelum itu menyertai perhimpunan di luar dewan yang antaranya menggelar beliau sebagai bangsat, paria dan rasis sambil membawa telur ayam untuk dibaling pada Rayer.
Rayer bagaimanapun menjelaskan, beliau menggunakan perkataan celaka terhadap tiga pemimpin Umno kerana parti itu sering menguar-uarkan konsep 1Malaysia tetapi memainkan politik perkauman.
Pemimpin Umno itu adalah dua anggota Parlimen – Reezal Merican Naina Merican (Kepala Batas), Shabudin Yahya (Tasek Gelugor) – dan timbalan pengerusi Umno negeri Musa Sheikh Fadzir.
Ketiga-tiga mereka mengambil bahagian dalam perhimpunan pro-Umno di Seberang Jaya pada Januari yang kontroversi apabila kain rentang mengaitkan DAP dengan tragedi 13 Mei dipamerkan.