Ketua Pembangkang di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, Datuk Jahara Hamid memohon maaf atas tindakan ahli Umno menceroboh DUN semalam.
Selepas perdebatan sengit berhubung usul tergempar yang dibentangkan oleh Ketua Menteri, Lim Guan Eng untuk mengutuk perbuatan itu, Jahara memohon maaf bagi pihak "mereka yang menceroboh itu".
"Tetapi kami mahukan ADUN Seri Delima mohon maaf kerana memanggil Umno celaka," katanya.
Dalam sidang akhbar kemudiannya, Jahara berkata adalah tidak adil Umno diminta memohon maaf sedangkan Rayer enggan berbuat demikian.
Katanya, mengapa ketua menteri hanya melihat kesalahan orang lain tetapi bukan kesilapan orangnya sendiri.
Jahara berkata, Umno juga akan mencadangkan satu usul kemudiannya untuk memaksa Rayer memohon maaf dan menarik balik kenyataannya di Dewan itu.