Datuk Seri Najib Razak akan memutuskan sama ada akan memfailkan saman fitnah terhadap Malaysiakini sebelum berlepas ke luar negara esok, kata peguamnya Mohd Hafarizam Harun.
Beliau sebelum ini memberikan masa 48 jam – berakhir dua hari lepas – kepada Malaysiakini untuk menarik balik dua artikel yang mengumpulkan pandangan pembaca dan memohon maaf tanpa syarat.
Hafarizam ( kiri ) berkata, beliau akan membuat temu janji dengan Najib sama ada malam ini atau esok pagi.
“Saya akan tetapkan temu janji dengannya sebelum beliau meninggalkan negara ini esok,” katanya kepada pemberita hari ini.
Najib berpandangan dua artikel 'Yoursay' bertarikh 14 Mei, berjudul “A case of the PM reaping what he sows” dan “How much will Najib spend to keep Terengganu?” berhubung krisis politik Terengganu, adalah fitnah.
Ditanya tentang tawaran hak menjawab yang ditawarkan Malaysiakini , Hafarizan berkata, beliau akan menyampaikan tawaran itu kepada Najib dalam pertemuan mereka.
“Ya, sudah tentu, saya akan majukan kesemua pihak dan tawarkan kepada anak guam untuk putuskannya,” tambahnya.