Presiden NGO pendesak Melayu PERKASA Datuk Ibrahim Ali mengalu-alukan Gerakan supaya menggunakan gambar beliau bersama calon DAP Teluk Intan Dyana Sofya Mohd Daud sebagai kempen menolak calon parti itu.
Ibrahim berkata strategi yang sama dilakukan oleh PKR dan DAP dalam pilihan raya kecil DUN Kajang dengan tersebarnya sepanduk gambar pemimpin NGO itu bersama calon BN/MCA.
"Tujuannya (mencetuskan) provokasi bagi pengundi Cina (supaya) marah MCA/BN kerana bersama PERKASA. Kononnya PERKASA rasis dan anti-Cina.
"Macamlah DAP tidak rasis. Bila gambar Dyana, calon DAP bergambar dengan saya bersama ibunya Yammy, gambar ini benar.
"Logiknya pengundi Cina marah dan tidak akan undi calon DAP, kerana DAP ada hubungan dengan PERKASA," katanya dalam kiriman SMS kepada Malaysiakini pagi ini.
Ibrahim mengulas penyebaran gambar beliau bersama calon DAP Teluk Intan Dyana Sofya Mohd Daud dalam satu majlis makan malam.
Majlis itu diadakan bagi meraikan Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah yang dianugerahkan Ijazah Kehormat dari Universiti Teknologi Mara (UiTM).
Gambar yang tidak bertarikh yang diambil minggu lalu memaparkan Ibrahim tersenyum dan berdiri di antara Dyana dan ibunya Yammy Samat dan ia telah beredar dalam internet.
Ahli politik veteran itu juga berkata jika kaum Cina mengundi Dyana dan beliau menang dalam pilihan raya kecil itu, maka ia membuktikan tuduhan dan ketakutan mereka terhadap PERKASA adalah tidak benar.
"Bila kalah, PERKASA dijadikan alasan, tapi PERKASA ditubuh selepas PRU 12, di mana MCA dan Gerakan sudah kalah teruk.
"Gerakan elok guna sepenuhnya gambar saya dengan Dyana DAP untuk kempen buruk DAP," katanya.