RENCANA NGO kontroversi Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) semakin mencuri perhatian apabila melabelkan orang Cina dengan ungkapan kasar, antaranya “penceroboh” yang membuli orang Melayu.
Namun, mereka yang pernah bertemu dengan presidennya, Abdullah Zaik Abd Rahman akan menghadapi masalah menyelaraskan pendirian NGO tersebut dengan personaliti beliau.
Dengan senyuman tidak lekang dari bibir dan tutur kata lemah lembut, Abdullah Zaik tidak kelihatan seperti seorang yang menganggap orang bukan Melayu dan agama bukan Islam sebagai musuh umat Islam.
Malah, pada mana-mana sidang medianya beliau akan menjawab semua soalan yang diajukan dengan tenang tanpa mengelak mana-mana soalan.
Namun, itulah Abdullah Zaik ( kanan ) yang sekurang-kurangnya melonjak naik apabila membariskan calon dalam pilihan raya umum yang lepas.
Begitu juga lantang dengan pendirian-pendiriannya berkaitan isu-isu agama dan yang melibatkan kaum yang mencetuskan kontroversi meluas.
Untuk memahami lebih jelas pandangannya, sebahagiannya boleh dianalisis berdasarkan buku yang ditulisnya dua tahun lepas, 30 Soal Jawab Melayu Sepakat Islam Berdaulat yang diterbitkan NGO itu sendiri.
Buku bergaya mewah – berkulit keras, menggunakan kertas mahal dan penuh warna-warni – itu khusus bagi mengupas agenda “Melayu Sepakat Islam Berdaulat” yang dijunjung mereka.
Tulisan-tulisannya antara lain menjelaskan kelebihan kepimpinan Melayu Islam untuk diterima penduduk Malaysia yang berbilang kaum.
"Sebagai seorang Islam, menganggap diri lebih berhak dan lebih layak memimpin di bumi Malaysia ini adalah pendirian yang sejajar dengan pandangan Islam,” katanya.
'Nabi Muhammad pro-asabiyah'
Beliau berhujah, dengan agama Islam, ia menjadikan umat Islam mengatasi umat lain daripada segi kepimpinan dan dilantik Allah menjadi pemimpin kepada bangsa lain.
Beliau bagaimanapun berpendapat, seorang Muslim bukan Melayu "tidak munasabah" untuk memimpin orang Melayu Islam.
Kesimpulan itu dibuat berdasar jumlah golongan Cina dan India beragama Islam yang tidak lebih daripada 200,000 orang berbanding belasan juta orang Melayu Muslim di Malaysia.
"Apabila dia Islam dia berhak dan layak untuk menjadi pemimpin. Namun begitu dari segi faktanya, tidak munasabahlah kalau dia menjadi pemimpin kepada orang Melayu," tulisnya.
Dalam buku setebal 64 muka surat itu, Abdullah Zaik menegaskan berulang kali yang ISMA merupakan pertubuhan tidak bersifat politik.
Namun, ironinya buku itu menampilkan beberapa keping gambar beliau dengan pemimpin-pemimpin Umno, dan tidak sekeping pun gambar pemimpin Pakatan Rakyat.
Malah, prakatanya ditulis oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan dilancarkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.
Membaca buku itu lebih lanjut akan memberikan jawapan berhubung sebab di sebalik pendirian pro-Melayu ISMA itu – pendirian yang jarang dipakai oleh mana-mana gerakan fundamentalis agama di Malaysia.
Abdullah Zaik mendakwa sarjana Islam Ibnu Khaldun berpandangan, sikap asabiyah (terjemahan literal bermaksud perkauman) adalah sumber kekuatan dan kuasa politik dalam sejarah bermula dengan wujudnya asabiyah.
Menurutnya Ibnu Khaldun dalam kajian hadis mendapati Nabi Muhammad pro-asabiyah apabila menyebut pemimpin mesti datang daripada suku kaum Quraisy.
"Kalau kita membaca dan menyelidik cara Ibnu Khaldun menghurai hadis ini, dia menggunakan kaedah usul yang muktamad yang diguna pakai oleh semua ulama untuk mencari sebab, apa rahsia Rasulullah SAW menyebut pemimpin mesti daripada Quraisy," tulisnya.
Ia adalah jawapan kepada soalan-soalan awal dalam buku itu: "Apakah hujah-hujah syarak yang menjelaskan tentang dakwah dan usaha untuk menyatukan bangsa? Bagaimana pula perjuangan bangsa ini dikatakan asabiyah yang dilarang oleh agama Islam?"
Berikut antara intipati pendirian Abdullah Zaik, seperti dimuatkan dalam buku itu:
(1) Objektif Kristianisasi bukan menjadikan orang lain beragama Kristian, tetapi mengeluarkan mereka daripada Islam. Kristianisasi bukan agenda agama, tapi agenda penjajahan.
(2) Cina yang bersih rasuah tidak sama bersih, atau lebih 'Islam' daripada Melayu yang tidak bersih daripada rasuah. Ini kerana Cina tidak mengucap dua kalimah syahadah dan tidak menyembah Allah.
(3) Tindakan Melayu terlalu memikirkan apa Cina dan India kata dalam perbuatan mereka adalah 'virus'. Orang Cina dan India cuma fikirkan diri mereka sendiri dan sudah jauh tinggalkan orang Melayu.
(4) Golongan Islamis lebih patriotik berbanding golongan nasionalis.
(5) PKR, Umno, PAS perlu mengarahkan agenda parti mereka ke arah menjadikan agama, bangsa dan kepentingan umum sebagai pola perjuangan. Di Amerika Syarikat, presiden boleh datang daripada mana-mana parti tetapi agenda Amerika tetap menjadi keutamaan.
(6) Dasar ISMA memastikan orang Melayu sepakat bagi mengekalkan kuasa tawar menawar dalam konteks politik.
(7) Orang bukan Islam dan bukan Melayu boleh terima agenda kepimpinan Melayu jika tiada agenda dimainkan pihak lain dalam dan luar negara. Ia seperti berlaku pada Cina di Kelantan, Terengganu, Kedah.
(8) Sistem sekolah kebangsaan mencairkan identiti orang Melayu, tapi tidak identiti orang orang Cina dan India.
Latar Abdullah Zaik
Apabila diteliti lebih mendalam, pandangan pro-Melayu dan persepsi Rasulullah menjunjung semangat asabiyah bukan sesuatu yang luar biasa apabila ia dipadankan dengan latar belakang Abdullah Zaik.
Beliau membesar dan mendapat pendidikan di majoriti Melayu Islam.
Dilahirkan di Besut, Terengganu, sebuah negeri teras Melayu di Pantai Timur semenanjung, Abdullah Zaik membesar di Jertih dan mendapat pendidikan awal agama di Sekolah Menengah Ugama Sultan Zainal Abidin, Terengganu.
Sekolah itu memang antara sekolah terkemuka di Terengganu, yang dianggap sama taraf dengan pengajian agama di pondok-pondok.
Sekolah yang sama melahirkan tokoh-tokoh agama negeri seperti bekas menteri besar, Tan Sri Wan Mokhtar Wan Ahmad dan malah presiden PAS sekarang Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Tamat pengajian menengah, beliau ke Kaherah, Mesir dan melanjutkan pengajian di Universiti Al-Azhar, institusi pendidikan Islam tertua di dunia, dalam bidang syariah.
Kembali ke Malaysia, kini, beliau menetap di Bandar Baru Bangi, kawasan yang diketahui ramai mempunyai orang Melayu sebagai penduduk majoriti.
Mungkin latar belakangnya itu boleh menggambarkan bagaimana pemikiran-pemikiran kontroversinya itu terbentuk.