Walaupun berbeza parti, ibu kepada Dyana Sofya Mohd Daud berkata beliau akan menemani anak perempuan tunggalnya sepanjang tempoh kempen pilihan raya kecil Teluk Intan sehingga hari pengundian pada 31 Mei ini.
"Saya akan ikut dia dan sentiasa jaga atas dasar ibu menjaga anaknya, tapi mungkin tidak semua lokasi kempen.
“Semua anggota keluarga memberi sokongan termasuk kedua-dua abangnya," Yammy Samat, 59, dipetik sebagai berkata kepada pemberita.
Yammy, anggota Umno Ipoh Barat hari ini hadir bersama suaminya bagi memberi sokongan kepada calon muda DAP itu di Teluk semasa proses penamaan calon hari ini.
Bernama melaporkan, sebagai seorang ibu, beliau sentiasa berpesan kepada Dyana Sofya supaya tabah menghadapi cabaran pilihan raya itu, serta mengutamakan solat lima waktu.
Yammy berkata walaupun anaknya menjadi calon DAP, hubungannya dengan rakan-rakan Umno tetap seperti biasa.
"Tidak ada pemisah antara kami, hubungan kami berjalan seperti biasa, kawan Umno tetap kawan saya," katanya yang menyertai Umno sejak berumur 18 tahun.
PRK itu menyaksikan pertarungan satu lawan satu antara Dyana Sofya, 27, peguam lulusan Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Presiden Gerakan, Mah Siew Keong, 53.
PRK Parlimen Teluk Intan diadakan berikutan kematian penyandangnya, Seah Leong Peng, 48, daripada DAP pada 1 Mei lepas.
Pada pilihan raya umum ke-13 tahun lepas, Seah mengatasi calon BN Datuk Mah Siew Keong dengan majoriti 7,313 undi dalam pertandingan yang turut disertai calon bebas K Moralingam.
Pengundian awal bagi PRK Parlimen Teluk Intan ditetapkan pada 27 Mei dan hari pengundian 31 Mei ini.