Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata anggota majlis tertinggi Umno Datuk Razali Ibrahim tidak sepatutnya mengaitkan Universiti Tunku Abdul Rahman dengan isu perkauman.
Razali sepatutnya berhati-hati dalam membuat kenyataan melibatkan isu seperti itu, katanya ketika ditemui pemberita selepas proses penamaan calon untuk pilihan raya kecil Parlimen Teluk Intan.
"Saya tak fikir Razali dapat maklumat betul. Utar bukan universiti yang didominasi oleh kaum tertentu. Kemasukannya terbuka kepada semua, tidak kira bangsa,” tegasnya.
Razali tidak harus mengaitkan Utar dengan isu perkauman, katanya yang turut meminta timbalan menteri di jabatan perdana menteri itu agar “berhati-hati” dalam membuat kenyataan.
Laporan Bernama semalam menyebut, Razali membangkitkan mengenai dominasi kaum tertentu di Utar ketika mengulas mengenai kenyataan seorang pemimpin muda DAP, Dyana Sofya Mohd Daud yang mempersoalkan dasar kemasukan pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM).
Razali mempersoalkan mengapa Dyana tidak menuntut agar Utar ditutup kerana institusi milik MCA itu juga menurutnya didominasi satu kaum tertentu.
Dyana, 27, yang merupakan lulusan jurusan undang-undang UiTM disahkan sebagai calon pilihan raya kecil Parlimen Teluk Intan hari ini. Beliau berdepan dengan presiden GERAKAN Datuk Mah Siew Keong, 53 dalam pertandingan satu lawan satu.