Satu tulisan dalam Mingguan Malaysia mendakwa portal Malaysiakini harus dikategori sebagai ancaman kepada keselamatan, antara lainnya kerana didakwa turut bersama dengan usaha menggulingkan kerajaan dalam pilihan raya umum ke-13.
Tulisan pengarang dalam pojok itu mendakwa, Malaysiakini tidak akan berhentu dairpada meneruskan usaha seperti itu.
“Pada Awang, Malaysiakini sudah boleh dikategorikan sebagai ancaman kepada keselamatan negara. Buatlah kajian untuk melihat hakikatnya.
“Antara portal itu dan tentera siber, Red Bean Army milik parti pembangkang, tidak banyak bezanya. Sama bahaya,” tulisan dalam edisi hujung minggu Utusan Malaysia itu dipetik.
Ia seterusnya mendakwa, Malaysiakini berselindung di sebalik nama kebebasan bersuara dengan menyekat komen yang bersifat positif kepada kerajaan dan Umno.
“Reaksi pembaca dikawal dengan menyiarkan rata-rata komen yang menghentam, memburuk-buruk dan memfitnah kerajaan dan Umno, malah ke tahap menghina Islam, Raja-raja Melayu dan Melayu.
“Komen positif disekat, jika ada pun dilepaskan satu dua sahaja sekadar mengaburi mata,” kata pengarang itu lagi dalam tulisannya.
Tulisan itu selanjutnya membangkitkan notis tuntutan saman oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan tindakan Malaysiakini yang enggan meminta maaf ke atas dua tulisan berhubung kemelut politik Terengganu.
“Portal itu sekadar menawarkan kepada Najib dan Umno untuk menjawab pandangan kepada pembaca terhadap perkara yang dibangkitkan.
“Aneh, apabila akhbar Utusan menyuarakan hujah yang sama ke atas pemimpin pembangkang yang ghairah menyaman media arus perdana, Malaysiakini tidak melihat aspek pertimbangan kewartawanan. Sebaliknya taksub dengan hujah politik DAP dan PKR,” tulisan itu dipetik.