Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Besi Roslee Daud yang kembali kepada Umno semalam menjelaskan, beliau pada mulanya mengambil tindakan itu kerana 'terkejut' dengan perubahan menteri besar negeri.
"Bagaimanapun selepas berfikir, saya ambil keputusan kembali dan terus menyokong Umno dan BN.
"Saya buat keputusan sendiri.
"(Ia) bukan dipengaruhi orang lain," kata beliau ketika ditemui sebentar tadi selepas menyertai pertemuan ADUN BN dengan perdana menteri di Putrajaya hari ini.
Mengakui tindakannya terburu-buru, beliau mengambil kesempatan meminta maaf kepada pengundi kawasannya.
"Tindakan saya terburu-buru jugalah. Saya nak minta maaf kepada pengundi dan ahli parti kawasan saya.
“Sekarang saya sudah selesai dan saya kembali berjuang demi agama bangsa dan negara," katanya.
Roslee dilaporkan keluar Umno dan menjadi ADUN bebas pada awal pagi 13 Mei, menyertai langkah bekas menteri besar Datuk Seri Ahmad Said yang tidak puas hati dengan cara beliau ditukar.
Bagaimanapun, kira-kira 12 jam selepas itu beliau dilaporkan bertukar fikiran dan kembali kepada Umno, sekali gus menyeimbangkan penguasaan BN dalam DUN dengan Pakatan Rakyat.
Langkah Roslee itu mungkin menjadikannya pemegang rekod calon bebas terpendek dalam sejarah politik Malaysia.
BN dan Pakatan kini sama-masa memiliki 15 kerusi dalam DUN manakala bebas pula dua kerusi.