Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PAS: Lebih baik bubarkan DUN T'ganu
Diterbitkan:  May 13, 2014 11:22 AM
Dikemaskini: 3:51 AM

Bagi mengelakkan krisis berpanjangan situasi kerajaan minoriti di Terengganu, PAS berpendapat, lebih baik DUN dibubarkan supaya rakyat dapat membuat pilihan dan memberi mandat baru.

Ketua Penerangan PAS Datuk Mahfuz Omar berkata, langkah tiga ADUN Umno keluar parti menyebabkan Terengganu tidak mempunyai kerajaan majoriti dan pelantikan menteri besar baru “tidak sah” daripada sudut perundangan.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu juga berharap istana mengambil keputusan segera menggesa speaker memaklumkan pembubaran DUN bagi menjaga nama baik sultan.

"Bagi menjaga nama baik baginda sultan serta istana dalam krisis politik ini adalah lebih baik speaker bertindak segera memaklumkan pembubaran DUN," beliau dipetik sebagai berkata oleh Harakahdaily .

Mahfuz turut meminta ketua pembangkang negeri dan juga bekas menteri besar memaklumkan kepada speaker kedudukan kerusi supaya DUN boleh dibubarkan, sekali gus memberi laluan kepada pilihan raya baru.

"Kita dari Pakatan Rakyat bersedia untuk menghadapi pilihan raya negeri yang baru, bersedia untuk memberi kuasa kepada rakyat membuat pilihan,” beliau dipetik sebagai berkata.

Mat Sabu: Undi tak percaya

Sementara itu, Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu berkata, PAS akan mengusulkan undi tidak percaya terhadap menteri besar Terengganu dalam DUN.

Katanya, parti itu tidak akan menggunakan kaedah yang berlaku ketika krisis politik di Perak lima tahun lalu yang menyaksikan BN merampas negeri itu tanpa melalui usul di DUN atau pilihan raya baru.

"Kita akan ikut kaedah yang betul, kena ada undi tidak percaya pada menteri besar Terengganu dalam sidang DUN.

"Cara yang BN guna masa di Perak dulu salah, kita tak akan buat benda yang tak ikut peraturan," beliau dipetik sebagai berkata kepada Astro AWANI .


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS