Akibat salah faham, sekumpulan anggota DAP dan wartawan berbangsa India hari ini naik angin dan cuba berdepan seorang calon bebas dalam pilihan raya kecil Bukit Gelugor Abu Backer Sidek Mohammad Zan.
Ia berlaku apabila Abu Backer cuba menjelaskan bahawa beliau antara peguam yang tidak sependapat dengan bekas pengerusi bersama BERSIH Datuk S Ambiga, dalam isu demonstrasi, yang disertai pelbagai kaum.
Beliau bagaimanapun berkata tidak bersetuju dengan sesetengah gelaran yang diberikan kepada mereka seperti Melayu “bangsat”, Cina “tak berguna” dan India “pariah”.
Bagaimanapun, ketika menjelaskan perkara, sekumpulan individu yang marah mara kepadanya dan menuntut penarikan balik kenyataan “pariah” itu.
“Kenapa kamu guna perkataan pariah, kenapa kamu kata pada Ambiga?
“Kami calon, macam mana kamu cakap macam ini? Ini rasis dan menghina,” jerit mereka sambil mengancam membuat laporan polis jika beliau enggan memohon maaf.
Alukan laporan polis
Abu Backer kemudian dengan sabar menjelaskan beliau tidak memberikan gelaran itu kepada Ambiga.
Beliau sebalik berkata, hormat pada pihak yang membawa isu secara profesional ke dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) seperti berkaitan presiden PKR dan ADUN Kajang Datuk Seri Wan Azizah Ismail.
Beliau juga sempat menjelaskan,” kaum India mesti dilindungi kerana menjadi masyarakat yang dipinggirkan...” sebelum kumpulan itu mengganggu dan terus menuntut permohonan maaf.
Enggan akur pada tuntutan itu, Abu Backer 'mengalu-alukan' laporan polis dibuat terhadapnya.
Abu Backer bertanding menentang calon DAP Ramkarpal Singh, calon Parti Cinta Malaysia (PCM) Huan Cheng Guan dan seorang lagi calon bebas Mohamed Nabi Bux.
Pilihan raya itu diadakan ekoran kematian penyandangnya Karpal Singh akibat kemalangan jalan raya.
DAP memang selesa dalam pilihan raya umum lalu dengan majoriti lebih 40,000 undi.