Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat PKR Datuk Johari Abdul mengesahkan pemilihan di cabang tertentu yang terpaksa digantung hari ini.
Johari bagaimanapun berkata beliau hanya akan mendedahkan butiran berkenaan petang ini, termasuk jumlah cabang dan sebab penggantungan tersebut.
"Ya, ada yang digantung,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini petang ini.
Antara yang terlibat adalah cabang Kota Raja susulan kejadian melibatkan satu peti undi yang didakwa “dipecahkan” yang menyebabkan satu pergelutan berlaku.
Penyandang ketua cabang tersebut Dr Xavier Jayakumar mendakwa seorang lelaki cuba merampas peti undi tersebut dan menghempaskannya ke lantai menyebabkan kertas undi bertaburan.
"Satu pergelutan berlaku tetapi tiada kecederaan,” katanya ketika dihubungi.
Katanya, kejadian tersebut belaku pada kira-kira jam 4 petang selepas lebih 1,000 anggota cabang tersebut menunaikan tanggungjawab mereka di sebuah pusat komuniti di Klang.
Proses pengundian yang sepatutnya berakhir pada jam 5 petang digantung selepas kejadian itu.
"Sangat sedih sekali kerana perkara ini berlaku... Kami akan membuat laporan pada jawatankuasa pemilihan,” katanya.
Xavier yang bertanding untuk mempertahankan jawatannya menegaskan, individu didakwa menghempaskan peti undi tersebut bukan seorang penyokongnya.
Ini merupakan kejadian kedua yang berlaku dalam cabang PKPR Kota Raja semasa pemilihan kali ini.
Anggota cabang tersebut didakwa membaling kerusi ke arah satu sama lain semasa parti itu mula memperkenalkan sistem pemilihan baru pada tahun 2010.
Sementara itu, menurut setiausaha akhbar kepada menteri besar Selangor, Arfa'eza Aziz, Kota Raja merupakan salah satu dari sembilan cabang yang digantung pemilihannya har ini.
Katanya, senarai itu termasuk cabang Kuala Selangor, di mana Tan Sri Khalid Ibrahim bertanding sebagai ketua cabang.
Dalam tulisannya di Twitter, beliau berkata pemilihan itu digantung selepas jawatankuasa itu mendakwa terdapat individu yang didakwa mengundi untuk pihak lain.
Kataya, pengundian di tujuh lagi cabang yang digantung melibatkan Subang, Hulu Langat, Sabak Bernam, Kuala Langat, Sepang, Klang dan Selayang.
Sementara itu Bernama melaporkan pemilihan turut digantung di Shah Alam, Kapar, Sungai Besar dan Hulu Selangor.
PKR sebelum ini menggantung pemilihan di 17 cabang ekoran masalah yang timbul dalam proses pengundian.