NGO Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) menegaskan bukan Islam yang dianggapnya 'pendatang' perlu terus membayar cukai walaupun penglibatan mereka dalam politik perlu dihadkan agar tidak mencampuri urusan Islam dan hal ehwal orang Melayu.
Presidennya, Abdullah Zaik Abdul Rahman berkata demikian sewaktu menjawab soalan wartawan mengenai pendirian NGO itu yang tidak mahu orang bukan Islam terlibat dalam politik secara keterlaluan.
Ditanya sekiranya sumbangan cukai orang bukan Islam perlu dihadkan, maka penglibatan politik mereka dalam urusan negara juga perlulah dikurangkan, beliau berkata:
"Selari dengan prinsip keadilan, pihak-pihak bangsa pendatang hendaklah menerima kedudukan istimewa bangsa Melayu dan bumiputera di negara ini sebagai bangsa yang berdaulat.
"Penglibatan bukan Islam dalam politik sehingga mencampuri urusan bangsa Melayu dan Islam dan menidakkan hak mutlak bangsa Melayu dalam menentukan masa depan adalah keterlaluan dan sesuatu yang perlu diperbetulkan.
"Isu cukai, ia adalah imbuhan yang mereka bayar sebagai warganegara, jadi mereka perlu bayar.
"Dapat hasil pun daripada negara, jadi kenalah bayar cukai," katanya dalam sidang media pagi ini.
Beliau turut mempertahankan pendiriannya tentang orang Cina ke Malaysia sebelum ini yang dianggap sebagai pendatang.
Beliau memetik kajian tahun 1937 yang didakwa ditulis seorang profesor Universiti Harvard bertajuk, 'Malaysia, A Study in direct and Indirect Rule'.
Menurutnya, kajian itu merumuskan bahawa penjajah British membiarkan orang Cina membolot kekayaan dalam perlombongan Tanah Melayu.
Selain itu, beliau turut menempelak pihak yang membuat laporan polis terhadap ISMA susulan kenyataannya sebelum ini, atas dakwaan cuba menghasut.
"Saya fikir laporan polis satu cubaan untuk menghalang kita daripada menyatakan pandangan.
"(Malah) mereka yang buat laporan polis di bawah Akta Hasutan adalah mereka yang tentang Akta Hasutan," katanya lagi.
Sebelum ini, beberapa ahli politik DAP dan MCA membuat laporan terhadap ISMA susulan kenyataan Abdullah Zaik yang menyifatkan golongan bukan Melayu sebagai pendatang yang menceroboh bersama penjajah British.