Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Sokong GST? MB kata media salah tafsir
Diterbitkan:  May 4, 2014 4:00 PM
Dikemaskini: 8:29 AM

Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini menjelaskan bahawa beliau tidak menyokong cukai barangan dan perkhidmatan (GST) tetapi hanya menyarankan agar pelaksanaannya ditangguhkan.

Beliau membuat penjelasan itu melalui satu kenyataan di Facebook bagi menjelaskan laporan yang mendakwa beliau menyokong cukai yang akan berkuatkuasa 1 April tahun depan.

“Kenyataan saya mengenai GST disalahtafsir oleh akhbar. Saya dengan jelas berkata pelaksanaan GST hanya boleh dilakukan jika gini-pekali (ukuran statistik ketidakseimbangan pendapatan dalam negara) adalah kurang daripada 4.5.

 

"Pelaksanaan GST perlu ditangguhkan sehingga kerajaan persekutuan menangani isu jurang pendapatan itu,” katanya seperti dipetik dalam kenyataan itu.

Dalam tulisannya di Facebook pada hari Jumaat, Khalid berkata beliau tidak bersetuju jika GST dikuatkuasa sebelum isu jurang pendapatan penduduk tidak ditangani terlebih dahulu.

“Pada hemat saya, belum masanya lagi untuk negara ini melaksanakan GST. Selesaikan dahulu jurang pendapatan rakyat.

“Saya tidak bersetuju dilaksanakan GST sekarang kerana jurang pendapatan antara rakyat berpendapatan rendah dan rakyat berpendapatan tinggi masih jauh,” katanya.

Laporan Utusan Online pada hari yang sama menyebut, Khalid menyokong pelaksanaan GST dengan alasan, mekanisme itu adalah langkah mengutip cukai secara menyeluruh.

Beliau juga dilaporkan sebagai berkata, sistem cukai itu hanya sesuai dilaksanakan apabila jurang pendapatan penduduk adalah seimbang.

“Secara peribadi, pada masa yang tertentu saya (sokong GST), saya adalah antara orang yang menggalakkan GST dilaksanakan tetapi sekarang bukan masanya," katanya seperti dipetik dalam laporan itu.

Laporan itu mendakwa Khalid berkata demikian semasa ucapannya dalam satu majlis di Ijok, Kuala Selangor.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS