Selepas beberapa kali perbincangan dengan pihak berkuasa, akhirnya penganjur dibenarkan berhimpun di Jalan Raja - jalan besar berhadapan padang dan bangunan Sultan Abdul Samad - bagi membantah pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).
Bertemakan warna merah sebagai simbolik perjuangan buruh, Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu berkata, jalan tersebut akan ditutup bagi tujuan perhimpunan tersebut yang dijadual berlangsung jam 2 petang esok.
Beliau berkata, perkara tersebut dipersetujui dalam perbincangan beliau dan jawatankuasa himpunan itu dengan OCPD Dang Wangi Zainuddin Ahmad semalam.
Mereka juga bersetuju supaya padang dekat dataran itu tidak dimasuki oleh peserta himpunan dan menjangkakan peserta akan melimpahi ke Jalan Tunku Abdul Rahman dan Jalan Raja Laut.
Mereka berkumpulan di empat lokasi yang telah ditetapkan, iaitu Masjid Negara, Sogo, Dataran Maybank dan KLCC.
Bagaimanapun, Mohamad berkata hasil pertemuan itu juga memutuskan peserta "tidak dibenarkan berarak".
Beliau bersama kepemimpinan tertinggi Pakatan Rakyat termasuk Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim akan hadir ke perhimpunan itu, tambahnya.
"Di Jalan Raja, akan ada ucapan daripada pemimpin dan wakil NGO, sepanduk-sepanduk membantah GST, rasuah dan ketirisan dalam hal ekonomi serta penderitaan rakyat.
"Kita tidak akan masuk ke padang. Kita menghormati (persetujuan)... Wakil PAS, DAP (dan PKR) akan ada di sana. Polis ada bersama (untuk mengawal keadaan)," katanya dalam sidang medianya di ibu negara pagi ini.
Menurut Mohamad lagi, mereka juga tidak berbincang mengenai slogan yang dibenar sewaktu perhimpunan dan mungkin perhimpunan seumpama itu menjadi acara tahunan bagi mengingati perjuangan kaum buruh.
'Bentang deklarasi'
"Inilah perhimpunan kali pertama yang disambut oleh rakyat," katanya yang mesra dipanggil 'Abang Mat'.
Turut hadir dalam sidang media itu, Naib Presiden PKR Tian Chua, Jurucakap Jawatankuasa 1 Mei S Arutchelvan, Ketua Pemuda DAP Teoh Kok Seong, wakil NGO BERSIH Mandeep Singh, wakil JERIT dan wakil Unit Amal PAS.
Sementara itu, Arutchelvan berkata wakil daripada 95 organisasi akan berhimpun menyambut hari pekerja di KLCC termasuk menyatakan bantahan terhadap pelaksanaan GST sebelum bergerak ke Dataran Merdeka.
"Satu deklarasi akan dibentang esok," katanya yang juga setiausaha agung PSM sambil memaklumkan seramai 30 pemantau Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) akan memantau pada perhimpunan itu.
Mengucapkan penghargaan kepada polis, Tian yang juga ahli parlimen Batu pula menyeru rakyat turun mempertahankan hak berhimpun sekaligus menyampaikan bantahan terhadap cukai itu serta dasar yang tidak adil kepada rakyat.
"Rakyat tidak takut lagi dengan himpunan atau tindakan intimidasi. Polis juga perlu sedar tugas utama meraka ialah menyediakan segala kemudahan dan bersedia membantu orang awam untuk melaksanakan aktiviti dan hak perlembagaan," katanya.
Beliau bagaimanapun enggan mensasarkan jumlah peserta yang akan turun perhimpunan itu tetapi mahu "seramai mungkin" menyertai perhimpunan itu.
Kemudiannya, Mohamad mengumumkan setakat ini sebanyak 60 bas daripada Kedah akan hadir ke perhimpunan itu esok.
Sementara Teoh berkata menyeru rakyat turut bagi menghantar mesej membantah tindakan BN yang pernah memberi "janji manis" mahu menangani isu sara hidup rakyat sebelum pilihan raya umum lalu.
Sebaliknya kini, katanya yang juga ahli parlimen Rasah kerajaan melaksanakan GST yang akan membebankan rakyat.
Seramai 1,500 Unit Amal PAS akan bertugas dan mengawal keadaan pada perhimpunan tersebut.