Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012, yang menjadikan kegagalan penganjur memberi notis 10 hari sebagai satu kesalahan, adalah tidak munasabah kerana ia terjumlah kepada larangan efektif terhadap perhimpunan segera dan spontan.

    

Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mah Weng Kwai, dalam penghakiman setebal 29 muka surat, berkata hak untuk menganjur perhimpunan aman hanya boleh dihad secara munasabah dan bukan dilarang sebagaimana yang ditakrif dalam Perkara 10(2)(b) Perlembagaan Persekutuan.

    

Beliau berkata seksyen itu pada masa ini, pada dasarnya melarang perhimpunan spontan serta segera, dan keperluan memberi notis 10 hari menjadikan kebebasan untuk berhimpun secara spontan dan segera satu ilusi.

    

"Saya berpendapat tidak ada pertalian yang munasabah antara keperluan penganjur memberi notis 10 hari untuk menganjurkan perhimpunan aman dengan keperluan memberi notis 10 hari bagi tujuan memastikan keselamatan dan ketenteraman awam, seperti dikehendaki akta berkenaan.

    

"Keperluan untuk memberi notis 10 hari jauh melebihi kesulitan relatif disebabkan perhimpunan dan oleh itu, perlu dianggap sebagai tidak seimbang," katanya.

Mah berkata sebarang kesalahan lalu lintas atau tergendalanya aktiviti perniagaan yang mengancam keselamatan awam dan ini boleh ditangani sewajarnya oleh polis dan agensi penguatkuasaan di bawah undang-undang sedia ada seperti Akta Pengangkutan Jalan 1987 serta Kanun Keseksaan.

    

Pada Jumaat lepas, panel tiga hakim diketuai Datuk Mohd Ariff Mohd Yusof, Datuk Dr Hamid Sultan Abu Backer dan Mah, dalam satu keputusan bersejarah memutuskan bahawa Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman adalah tidak berperlembagaan.

    

Panel itu membenarkan rayuan Anggota Dewan Undangan Negeri Seri Setia Nik Nazmi Nik Ahmad bagi membatalkan pertuduhan menganjurkan perhimpunan Black 505 di Stadium Kelana Jaya pada 8 Mac tahun lepas terhadapnya.

    

Ketiga-tiga hakim menulis penghakiman berasingan yang kemudian diedar kepada media semalam.

    

Mah juga berkata seseorang harus berwaspada dengan tujuan sesuatu perhimpunan seperti yang dianjur Nik Nazmi iaitu sebagai satu platform untuk anggota masyarakat berkumpul dan bersuara, iaitu hak asasi yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.

"Dengan menjadikannya sebagai satu kesalahan dan menghukum penganjur mengikut Seksyen 9(1) dan 9(5) Akta Perhimpunan Aman, ia dengan jelas memperlihat ketakkonsistenan dan ketaksamaan yang diwujudkannya.

    

"Seksyen ini adalah satu penghinaan terhadap hak perayu (Nik Nazmi) untuk kebebasan berhimpun secara aman dengan menjadikan kegagalan memberi notis yang diperlukan sebagai jenayah kepada Ketua Polis Daerah," katanya.

    

Sementara itu, Ariff dalam penghakiman setebal 26 muka surat berkata Seksyen 9(5) adalah tidak berperlembagaan kerana sebarang ketidakpatuhan di pihak penganjur tidak sepatutnya dikenakan penalti jenayah.

    

Beliau berkata peruntukan akta berkenaan tidak mengakibatkan sesuatu perhimpunan itu haram tanpa memberi notis 10 hari atau diadakan dengan notis yang lebih singkat.

    

"Oleh itu, apa yang pada asasnya halal tidak boleh dianggap tindakan yang menyalahi undang-undang di pihak penganjur hanya disebabkan suatu kegagalan pentadbiran atau peninggalan," katanya.

    

Dalam penghakiman setebal 42 muka surat, Hamid pula berkata Malaysia sebagai penandatangan Konvensyen Antarabangsa mengenai hak kebebasan berhimpun secara aman, peruntukan untuk menghukum atau tidak menggalakkan perhimpunan aman perlu ditolak.

    

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS