Satu tulisan pengarang Mingguan Malaysia mendakwa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berjaya membendung ancaman pengaruh Datuk Seri Anwar Ibrahim sehingga negara Amerika Syarikat kini tidak lagi termakan dengan kata-kata ketua pembangkang itu.
Tulisan dalam ruangan Bisik-bisik Awang Selamat itu mendakwa, pentadbiran Barack Obama kini “lebih arif dalam menilai antara Najib dan ketua pembangkang” sehingga presiden AS itu enggan bertemu dengan Anwar.
"Mungkin ramai yang tidak sedar bahawa Najib telah banyak meneutralkan pengaruh Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim ke atas AS.
“Di sebalik gerakan melobi dan memburuk-burukkan kerajaan Malaysia selama bertahun-tahun oleh Anwar dan aktivis propembangkang, pentadbiran AS makin menyakini kerajaan pimpinan Najib.
"Keterbukaan (Najib) dan kebolehannya dalam pentadbiran terutama pengurusan ekonomi negara serta dasar luar, menjadikan Malaysia terus disegani dunia," tulisan itu dipetik.
Menurut tulisan itu lagi, sikap Obama itu berbeza dengan berkas naib presiden AS Al Gore yang didakwa “termakan dengan hasutan Anwar” sehingga menyelar pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad pada 1998, susulan hukuman penjara yang dikenakan ke atas Anwar.
“Ketika Najib bekerja keras untuk kemakmuran negaranya, Anwar lebih sibuk menghasut dunia terutama AS agar menekan dan menghukum Malaysia.
“Awang percaya pentadbiran Obama arif dalam menilai antara Najib dan ketua pembangkang itu, yang kini bergelut dengan isu moral dan integriti.
“Maka ramai rakyat Malaysia lega apabila Obama menolak menemui Anwar dalam lawatan tersebut, yang kini terdesak untuk menyelamatkan dirinya selepas dijatuhi hhukuman oleh mahkamah kerana meliwat,” kata pengarang akhbar milik Umno itu lagi dalam tulisannya.