Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kes MH370: Lebih ramai dipanggil bantu siasatan

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata polis sudah  mengambil keterangan 260 individu bagi membantu siasatan berhubung kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370.

Katanya lebih ramai lagi akan dipanggil untuk berbuat demikian dalam masa terdekat.

"Saya minta maaf kerana saya tidak boleh memberitahu anda mengenai penemuan siasatan setakat ini. Pertama, kerana  ini berkaitan siasatan jenayah, keduanya, apabila kita mengatakan sesuatu, orang ramai mula membuat spekulasi. Jadi lebih kami teruskan siasatan kami sehingga ada penemuan munasabah dan baik untuk dimaklumkan kepada orang ramai,"  katanya.

Khalid berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pemakaian Pangkat Komandan Sukarelawan Simpanan Polis Diraja Malaysia (SSPDRM) kepada Paul Lajumin, sukarelawan polis yang dinaikkan pangkat kepada Penguasa, di Kota Kinabalu hari ini.

Menurut Khalid kes kehilangan MH370 itu diklasifikasi sebagai kes jenayah mengikut Seksyen 130 (c) Kanun Keseksaan yang merangkumi aspek sabotaj, rampasan dan seumpamanya.

Sementara itu mengulas kes seorang pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) ditahan di Amerika Syarikat (AS) kerana cuba menyeludup keluar senjata api, Khalid berkata pihaknya akan mendapatkan laporan penuh daripada pihak berkuasa AS.

"Kami berminat untuk mengetahui apa niat dan tujuannya menyeludup pistol PT-22 itu," katanya.

Sebuah akhbar tempatan hari ini melaporkan pegawai TUDM berpangkat Mejar itu ditahan pihak berkuasa San Angelo susulan penemuan pistol tersebut di dalam beg pakaiannya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS