Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Perjalanan terakhir 'Harimau Jelutong'
Diterbitkan:  Apr 20, 2014 9:52 AM
Dikemaskini: Apr 21, 2014 3:52 AM

Dewan Seri Pinang di Pulau Pinang hari ini penuh sesak dengan anggota keluarga mendiang Karpal Singh, sahabat handainya dan ahli politik yang hadir untuk upacara penghormatan negeri kepada peguam tersohor itu.

Kira-kira 1,000 orang mula berhimpun sejam jam 8 pagi untuk menunggu ketibaan perarakan dari kediaman mendiang di Jalan Utama.

Jumlah berkenaan meningkat kepada kira-kira 10,000 orang menjelang jam 10 pagi.

Perarakan yang membawa keranda Karpal Singh, yang ditutup dengan bendera negeri, tiba pada jam 8.15, dengan iringan ratusan kenderaan termasuk kereta, motosikal dan basikal.

Kehadiran begitu ramai orang di dewan berkenaan menyebabkan suasana sedikit kelam kabut kerana terdapat individu yang menghalang laluan masuk.

Kesesakan itu bagaimanapun berjaya diatasi oleh ADUN Seri Delima yang turut mententeramkan keadaan.

Para hadirin seterusnya mengambil giliran untuk memberi penghormatan terakhir di tepi keranda Karpal dalam suasana penuh takzim.

Ada di antaranya dilihat merapatkan tangan untuk berdoa dan ada juga yang meletakkan bunga di keranda tersebut.

Selepas penghormatan dari khalayak umum, upacara diteruskan dengan penghormatan dari Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, kerajaan negeri, agensi kerajaan, DAP, Pakatan Rakyat, parti politik lain dan juga pertubuhan serta anggota keluarga Karpal.

Turut hadir adalah Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng, bapanya Kit Siang dan Hakim Mahkamah Tinggi Pulau Pinang Datuk Mohd Zaki Mohd Yassin.

Perarakan bermula jam 11:50 pagi hari ini antara lainnya melalui tempat signifikan dalam hidup Karpal iaitu DUN Pulau Pinang di mana beliau menjadi ADUN Bukit Gelugor dari 1978 hingga 1990.

Perarakan turut melaluui sekolah lamanya, St Xavier's Institution, pejabat guamannya di Jalan Green Hall dan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang di Jalan Faarquhar sebelum mayat beliau dibakar di Batu Gantung kira-kira jam 1 petang nanti.

Ribuan hadirin yang menunggu di sepanjang jalan turut bertepuk dan melaung nama Karpal Singh ketika mayat mendiang dibawa keluar dari dewan.

Upacara terakhir di tempat pembakaran mayat Batu Gantung turut disaksikan oleh orang ramai dan wartawan.

Suasana tegang sekali lagi tercetus apabila orang ramai enggan berganjak untuk memberi ruang kepada anggota keluarga Karpal yang bersiap sedia untuk memindahkan keranda ke tempat pembakaran.

Anak sulung mendiang, Jagdeep Singh, terpaksa memberi amaran keras kepada jurugambar supaya berhenti merakam gambar untuk memberi ruang kepada anggota keluarga di saat terakhir sebelum mayat dibakar.

Anak bongsu Karpal, Man Karpal juga dilihat merampas satu telefon bimbit milik seorang wanita dan menghempaskannya ke dinding.

Para hadirin bersurai hampir jam 3 petang selepas upacara tersebut selesai.

Anak mendiang, Gobind Singh menyatakan penghargaannya kepada semua yang hadir di upacara tersebut.

[Baca berita penuh]

[GALERI FOTO]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS