Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor Hannah Yeoh hari ini memaklumkan menamatkan perkhidmatan katerer setelah menerima banyak aduan keracunan makanan semalam.
Menurut beliau katerer tersebut yang dipilih melalui tender terbuka telah berkhidmat menyediakan makanan sepanjang sidang DUN bermula 7 April lalu.
Bagaimanapun, semalam pertama kali aduan keracunan makanan diterima.
"Kami telah menyiasat, puas hati dengan siasatan daripada aduan wartawan, timbalan speaker, staf pejabat speaker dan saya sendiri terkena keracunan makanan.
"Kita ambil keputusan tidak meneruskan katerer ini dan kita akan ambil katerer baru dalam sidang DUN akan datang.
"Kita juga memohon maaf di atas perkara itu," katanya dalam sidang media pagi tadi.
Sementara itu, ADUN Subang Jaya itu juga menjelaskan walaupun kesakitan yang dialami tidak serius namun perutnya masih tidak selesa semalam dan hari ini.
Manakala, kakitangan dewan dan pejabat speaker telah dibawa mendapatkan rawatan di bilik rawatan DUN tetapi jumlah wartawan yang mengalami kesakitan tidak dapat dipastikan.
"Setakat 11:30 pagi ada lima orang masih berada di bilik rawatan, tiga orang staff dewan (DUN) dan staff pejabat speaker dua orang manakala ADUN tidak kena keracunan makanan," katanya.
Bagaimanapun, Hannah menegaskan tiada kesakitan kritikal sehingga memerlukan rawatan di hospital.