Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) menyebabkan pertindihan kerja, kata bekas ketua polis Sabah.
Bagaimanapun, Ramli Yusuff, sebagai ketua polis negeri antara 2002 hingga 2004, enggan mengulas sama ada Esscom patut dimansuhkan atas alasan ia berkaitan isu dasar negara.
Dalam perkembangan yang sama, Ramli berkata, Esscom patut diketuai oleh ketua polis negeri bagi mengelakkan pertindihan arahan dan bagi memastikan cengkaman lebih baik terhadap perkara berkaitan operasi keselamatan.
“Saya sudah kaji kawasan itu dan saya fikir Esscom, atau apa yang kamu mahu gelarkannya, patut diketuai oleh polis atau tentera. Tetapi saya lebih suka polis kerana ia masalah (keselamatan) dalaman...,” kata Ramli.
“Ini pandangan peribadi saya, tetapi (ketua Esscom sekarang) Datuk Mohammad Mentek daripada Jabatan Imigresen dan dia tidak tahu hal-hal operasi,” tambahnya ketika diwawancara Malasiakini semalam.
Ramli, yang mengetuai Ops Nyah yang menyaksikan pengusiran lebih 100,000 pendatang haram di Sabah pada masanya berkata, Esscom mewujudkan percanggahan arahan.
“Saya tidak tahu.. mereka mungkin ada tatacara operasi standard. Tetapi bagi saya. Sebagai bekas pesuruhjaya polis, saya fikir ia tidak masuk akal.
"Lebih baik meningkatkan aset polis tempatan atau tentera untuk perkara itu... Perkara itu sepatutnya sudah diselaraskan,” tambahnya.