NGO Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) mempersoalkan sebuah gereja di Seremban yang menggunakan bahasa Melayu untuk mempromosi penganjuran Muzikal Easter pada 18 hingga 20 April depan.
Yang Dipertua ISMA cawangan Seremban Zamani Ibrahim berkata promosi terbuka menggunakan bahasa itu dilihat mempunyai unsur memujuk golongan bukan Kristian untuk menghadirinya.
Katanya, promosikan sambutan itu melalui banting di luar premis dan di tempat awam menimbulkan persoalan sedangkan majlis itu khusus kepada yang beragama Kristian.
Menurut kepercayaan mereka Good Friday merupakan hari memperingati kematian Tuhan Yesus, manakala Easter pula merujuk kepada hari memperingati kebangkitan Yesus pada hari ketiga selepas kematiannya.
Sehubungan itu, Zamani berpandangan kepercayaan itu adalah bercanggah dengan ajaran agama Islam dan sebagai NGO Islam, mereka prihatin terhadap pembinaan jati diri muslim dan akidah umat Islam di Malaysia khususnya di Negeri Sembilan.
"Maka ISMA Seremban berharap agar Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEINS) membuat pemantauan sepanjang acara Muzikal Easter ini berlangsung,” katanya seperti dilapor dalam laman web Isma.
Laporan itu juga menyebut, majoriti penganut Kristian di negara ini dari kalangan Cina dan India yang bahasa utama perantara mereka ialah bahasa Inggeris.