Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Khutbah: GST ikut semangat Islam
Diterbitkan:  Apr 11, 2014 1:57 PM
Dikemaskini: 7:24 AM

Khutbah Jumaat Wilayah Persekutuan hari ini menyeru umat Islam secara bijaksana mencari maklumat sebenar berhubung pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang akan dilaksanakan kerajaan tahun depan.

Menurut teks khutbah kelolaan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) itu, pelaksanaannya berdasar semangat Islam bawah konsep “ al-adl wal ihsan”.

Percayalah bahawa pelaksanaan cukai GST adalah untuk memperteguh ekonomi dan bagi menjamin kepentingan dan kesejahteraan rakyat,” kata mimbar.

”Mimbar amat yakin bahawa pelaksanaan ini berdasarkan semangat Islam yang berpandukan panduan prinsip al-adl wal ihsan – iaitu menghayati semangat berlapang dada dan muafakat di samping prinsip tidak memudaratkan.”

Khutbah juga berkata, amalan prinsip itu akan membuatkan kita sentiasa mengingati balasan Allah atas kesalahan seperti monopoli kekayaan, penyelewengan serta perkara yang menzalimi dan merugikan.

Ia juga mempertahankan cukai kontroversi yang ditentang hebat pembangkang itu sebagai progresif dan rakyat didakwa akan menikmati harga lebih kompetitif untuk pelbagai jenis barangan

“Perlaksanaan ini tidak akan membebankan rakyat kerana ia merupakan satu kaedah penyusunan sistem percukaian negara supaya ianya lebih berkesan, saksama, efisien dan telus serta dapat mengelak berlakunya cukai yang terselindung dan bertindih,” teks khutbah itu dipetik.

Khutbah berjudul “Memperkasa Ekonomi Ummah” itu yang kedua dalam masa terdekat dalam siri kupasan isu-isu ekonomi selepas menganjurkan tanggungjawab bersama memakmurkan ekonomi negara.

Minggu lalu, khutbah JAKIM mengingatkan bahawa sebarang langkah memperkenal dasar percukaian baru mesti dibuat berdasarkan kajian teliti supaya tidak membebankan.

Khutbah JAKIM dibaca di masjid-masjid di Wilayah Persekutuan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS