Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Bomoh bubu' mahu pergi Australia
Diterbitkan:  Apr 10, 2014 4:16 PM
Dikemaskini: 10:20 AM

Pengamal perubatan alternatif Ibrahim Mat Zain yang mencetus kontroversi melalui upacara perbomohan untuk mencari pesawat MH370 mengumumkan beliau akan berlepas ke Australia.

Ibrahim melalui satu video di Youtube berkata beliau akan menggunakan kaedah perbomohan Melayunya bagi membantu operasi mencari pesawat berkenaan.

"Pada pandangan saya, sebagai seorang raja bomoh, mereka masih hidup. Ia (pesawat) mungkin di udara, di pulau tetapi bukan di lautan,” katanya lagi dalam video berkenaan.

Ibrahim mula mencetus kontroversi apabila muncul muncul di balai berlepas KLIA pada 10 Mac lalu dengan dua batang buluh dan satu bubu.

Bubu itu diletakkannya di atas kepala seorang lelaki yang hadir di situ dan beliau menggunakan batang buluh berkenaan sebagai satu teropong untuk meninjau ke arah bubu berkenaan sambil membaca surah Yasin.

Kemunculan beliau semasa perhatian dunia tertumpu ke arah kes kehilangan pesawat berkenaan turut menimbulkan spekulasi bahawa kerajaan terpaksa menggunakan khidmat bomoh.

Dakwaan berkenaan dinafikan oleh kerajaan Malaysia.

Ibrahim muncul sekali lagi dua hari kemudian bersama tiga orang pembantu yang diarahkannya supaya duduk bersila dalam satu barisan di atas satu pengalas, dengan diperhatikan oleh orang ramai.

Dalam upacara tersebut, salah seorang pembantunya itu menggunakan sebatang tongkat untuk membuat gaya mendayung sampan dan seorang lagi menggunakan satu bakul untuk menunjukkan gaya mencedok air.

Individu terakhir dalam barisan tersebut memegang dan menggerakkan buah kelapa di kedua-dua belah tangan.

Dalam upacara itu mereka melaungkah takbir beberapa kali.

Seterusnya dalam satu video yang dikesan pada akhir Mac, Ibrahim dan empat lagi lelaki menaiki bot sambil seorang daripadanya membuat gaya meneropong.

Video itu memaparkan aksi individu yang melakukan upacarfa menguis kayu berbentuk seperti tongkat ke dalam air seolah-olah mencari sesuatu.

Dalam babak yang lain, dipaparkan pula dua lelaki merentang buluh panjang yang digantung dengan beduk dan diketuk berapa kali sebelum diikuti Azan di pinggir laut.

Upacara berkenaan turut mendapat kecaman kerana didakwa bercanggah dengan Islam.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS