Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Kontrak runding terus pembinaan Kampus Sultan Azlan Shah (KSAS) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bernilai RM459.58 juta, siap dalam keadaan "secara keseluruhannya, kurang memuaskan", Laporan Ketua Audit Negara 2013 dipetik.

Audit yang dibuat di antara bulan Oktober hingga November 2013 mengesan lapan kelemahan pada kampus itu.

Antaranya kontraktor didapati gagal menyelaraskan perbezaan suhu dalam bilik dengan persekitaran luar bilik sehingga menyebabkan kondensasi pada dinding luar bilik di empat blok bangunan.

Kondensasi itu ( kanan ) menyebabkan dinding luar bilik lembap, menggelembung, berkulat dan besi pada bucu dinding berkarat.

Sistem kalis air pada dua blok bangunan juga tidak berfungsi sehingga menyebabkan plaster silingnya rosak.

Air yang meresap ke dalam bangunan secara berterusan dilaporkan menyebabkan pembentukan stalaktit di dalam bahagian bangunan “Plant House 1”.

Selain itu, sistem kawalan pusat bernilai RM3.61 juta dikenali sebagai Building Automation System (BAS) dan Supervisory Control and Data Acquisition (SCADA) tidak berfungsi sepenuhnya.

Sistem BAS yang sepatutnya mengawal penggera kebakaran, penyejuk (chiller) di Plant House 7 dan sistem kendalian udara (AHU) di Panggung Percubaan, Dewan Besar dan Dewan Kuliah Pusat - tidak berfungsi.

Sistem SCADA pula tidak dapat mengawal sistem elektrik seperti lampu koridor di bangunan Panggung Percubaan dan Pusat Pelajar.

Sehingga 31 Disember 2013, bangunan itu didapati masih belum dianugerahkan sijil layak menduduki walaupun certificate of practical completion dikeluarkan pada 31 Januari 2012 dan bangunan mula digunakan bermula Februari 2012.

Justeru, pihak audit mengesyorkan UPSI dan Jabatan Kerja Raya sebagai pengarah projek agar memastikan kontraktor membaiki semua kecacatan yang berlaku sebelum tempoh tanggungan kecacatan tamat.

JKR juga dicadang agar melaporkan kontraktor dan perunding kepada badan profesional berkaitan agar mereka dikenakan tindakan tatatertib.

Kampus yang terletak di Bandar Proton, Tanjung Malim itu menerima peruntukan dari Unit Perancang Ekonomi (UPE) dan dianugerahkan secara runding terus oleh Kementerian Kewangan kepada Kumpulan SAKATA Sdn Bhd.

Pakej pertama pembinaan meliputi kerja tanah dan infrastruktur berjumlah RM34.81 juta bermula pada 1 Mac 2007 dan siap pada 28 April 2008.

Pakej kedua pembinaan yang bermula pada 1 Ogos 2008 dan siap sepenuhnya pada 31 Januari 2012 pula menelan kos RM403.80 juta.

ADS