AirAsia menjadi sasaran warga siber berhubung sekeping gambar yang beredar di talian malam tadi berkaitan sebuah artikel di majalah dalam penerbangan syarikat tambang murah itu - travel 3Sixty - yang disifatkan 'tidak sensitif' ekoran tragedi MH370.
Gambar tersebut dikatakan menunjukkan halaman 125 majalah itu, dan ia merupakan sebahagian daripada artikel Tiga muka surat yang menggambarkan insiden-insiden lalu di mana juruterbang
mendarat di lapangan terbang yang salah dan soal teknikal yang terbabit dalam menangani isu ini, termasuk mempertingkatkan latihan untuk juruterbang.
Petikan itu berbunyi: “Training and Preparation - Pilot training in AirAsia is continuous and very thorough.
“Rest assured that your captain is well prepared to ensure your plane will never get lost. Have a safe flight!”
(Terjemahan: "Latihan dan Penyediaan - latihan untuk juruterbang di AirAsia berterusan dan sangat teliti. Yakinlah bahawa kapten anda cukup bersedia untuk memastikan pesawat anda tidak akan hilang. Selamat terbang!")
Ini datang tidak sampai sebulan bulan sejak kehilangan MH370, di mana pesawat penerbangan ke Beijing itu secara misteri hilang pada 8 Mac dan kini dipercayai penerbangannya berakhir di Lautan Hindi.
Yang awal membangkitkan isu itu ialah pengguna Twitter di bawah nama @Shamilf. [Baca berita penuh]
Sementara, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes (kanan) kemudiannya menjawab di Twitter bahawa majalah tersebut telah dicetak sebelum kehilangan MH370 dan artikel berkenaan telah ditarik balik selepas dimaklumkan mengenai perkara itu.
"Sekali lagi, mohon maaf. Ia merupakan masa yang sukar bagi semua dalam industri ini." tulis Tony dalam tweet.
Sementara itu, Pengerusi Eksekutif AirAsia dan juga penerbit majalah itu Datuk Kamarudin Meranun juga memohon maaf.
Beliau menjelaskan bahawa penulis artikel ini Lim Khoy Hing adalah seorang juruterbang yang telah bersara dari MAS dan AirAsia, dan menulis ruangan bulanan dalam majalah itu dan juga dalam buku-buku berkaitan dengan bidang penerbangan.
Katanya, sebagai penyumbang bulanan, kapten Lim menyediakan semua artikel berbulan lebih awal sebelum majalah itu dicetak.
Menyifatkannya sebagai tidak sengaja dan dikesali, Kamaruddin berkata edisi semasa itu memuatkan satu artikel yang membincangkan tentang GPS (sistem kedudukan global) dan radar, yang telah dicetak sebulan sebelum tarikh terbitan.
Beliau berkata, pihaknya telah menangi isu tersebut dan telah menambahbaik proses kelulusan editorial untuk memastikan ia tidak berulang lagi pada masa depan, dan memastikan semua kandungan majalah itu "selaras dengan nilai-nilai jenama kami".
Katanya tindakan tatatertib juga akan diambil terhadap kumpulan editorialnya.
Menurutnya, majalah edisi tersebut telah dikeluarkan serta-merta dari semua pesawat AirAsia.
Kamaruddin juga menegaskan bahawa ingatan dan doa mereka sentiasa bersama dengan keluarga dan rakan-rakan penumpang MH370.