Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kabinet '85, Anwar patut pikul tanggungjawab
Diterbitkan:  Apr 4, 2014 4:00 PM
Dikemaskini: 12:10 PM

Seluruh kabinet pada tahun 1985 perlu bertanggungjawab terhadap peristiwa Memali, termasuk Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim, kata pakar perlembagaan Dr Abdul Aziz Bari.

Menurutnya, dalam sistem kerajaan berparlimen ala Westminster seperti diamalkan Malaysia, setiap keputusan yang dibuat oleh anggota kabinet adalah tanggungjawab bersama seluruh kabinet.

Jelasnya, ia juga termaktub dalam Artikel 43(3) Perlembagaan Persekutuan.

Artikel 43(3) menyatakan: "Jemaah Menteri hendaklah bertanggungjawab secara bersama kepada Parlimen."

"Maka seluruh kabinet pada masa itu - termasuklah Dr Mahathir Mohamad dan Anwar Ibrahim - perlu mengambil tanggungjawab.

"Secara teknikalnya, timbalan menteri dan setiausaha parlimen tidak bertanggungjawab kerana mereka bukan anggota kabinet (kerana mereka hanya membantu menteri penuh)," kata bekas profesor undang-undang itu dalam kenyataannya.

Menurutnya, tanggungjawab bersendirian menteri pula adalah terhadap portfolio yang dijaga menteri berkenaan.

"Untuk menteri dalam negeri misalnya beliau perlu bertanggungjawab terhadap sebarang kesilapan yang berlaku dalam kementeriannya.

"Namun ini adalah aspek perlembagaan dan ia tidak meliputi aspek jenayah," katanya.

Dr Mahathir merupakan perdana menteri pada masa itu manakala Anwar pula merupakan menteri pertanian ketika peristiwa berdarah pada 19 November 1985.

Anwar kemudian mendaki hierarki politik dan menjadi timbalan Mahathir pada tahun 1993.

Peristiwa Memali kembali hangat diperkatakan apabila timbalan Mahathir pada masa itu, Tun Musa Hitam ( kiri ) mendakwa Mahathir berada dalam negara sepanjang peristiwa hitam itu berlaku.

Kenyataan itu bercanggah dengan versi rasmi selama ini yang menyatakan Mahathir melakukan lawatan rasmi ke China pada masa itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS