Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata siasatan kes kehilangan pesawat MH370 kini diklasifikasi sebagai siasatan jenayah.
Laporan Wall Street Journal yang memetik kenyataan Khalid menyebut, polis setakat ini merekodkan 170 kenyataan dan akan menemui lebih ramai individu.
Bagaimanapun, beliau tidak akan mendedahkan hasil siasatan berkenaan kerana bimbang akan menjejaskan proses pendakwaan, lapor akhbar itu.
Mengulas mengenai alat simulator penerbangan kapten pesawat MH370 Zaharie Ahmad Shah, Khalid berkata beliau masih menunggu laporan pakar mengenai simulator berkenaan.
Namun, hasil siasatan ke atas alat berkenaan setakat ini belum mememberi apa-apa kesimpulan, katanya.
Sementara itu, laporan New Straits Times pula menyebut, siasatan polis turut meliputi kargo dalam pesawat berkenaan.
"Sebagai contoh, apabila kita tahu terdapat empat tan manggis dimuat dalam kapal terbang itu, kita perlu menyiasat dari mana ia datang, siapa pembekal, siapa yang tempah dan seterusnya siapa yang memetik," katanya seperti dipetik dalam laporan tersebut.
Beliau dilaporkan berkata demikian semasa merasmikan satu seminar berhubung mutu dan inovasi Polis Diraja Malaysia pagi ini.
Khalid turut menekankan bahawa polis menumpukan empat aspek siasatan - masalah peribadi, psikologi, sabotaj dan rampasan.