Para peserta yang menyertai satu persidangan industri penerbangan hari ini tergamam seketika apabila ketua pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA) Datuk Azharuddin Abdul Rahman menghentikan ucapan dan meminta para wartawan meninggalkan dewan persidangan.
Azharuddin yang kelihatan tertekan enggan meneruskan ucapannya apabila mendapati petugas media hadir dalam persidangan tersebut, lapor The Star .
"Saya minta maaf, ada mana-mana petugas media di sini? Saya tidak tahu ada petugas media.
"Saya minta maaf, boleh saya minta petugas media berada di luar?,” katanya seperti dipetik dalam laporan tersebut.
Dalam persidangan di Hotel Sheraton Imperial, Kuala Lumpur itu, Azharuddin dilaporkan sedang menjelaskan mengenai urutan peristiwa kehilangan pesawat Malaysia Airlines penerbangan MH370 dan operasi pencarian.
Beliau juga enggan bercakap kepada wartawan selepas ucapannya.
Ketika dihubungi, Azharuddin dalam jawapannya kepada Malaysiakini melalui SMS berkata: “Ia dipersetujui sebagai acara tertutup.”
Malaysiakini juga cuba mendapatkan maklum balas bahagian komunikasi korporat Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (Iata).