Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Dewan Pemuda PAS mengumumkan untuk mengadakan perhimpunan pada 5 April di pekan Baling bagi mendesak kerajaan menaikkan harga getah demi menjaga kebajikan pekebun kecil.

Ketua Pemuda PAS Suhaizan Kaiat berkata perhimpunan itu akan mengulang semula tuntutan serupa yang disuarakan para pekebun kecil getah semasa perhimpunan bersejarah di pekan tersebut pada 1974.

"Ini menjadi siri kedua selepas perhimpunan 1974 berhasil (menaikkan harga getah).

"Tapi tahun 1974 lalu, (jualan) satu kati (600g) getah sekerap 25 sen masih boleh beli satu kati gula. Sekarang ini, satu kilo getah (berharga) RM2.30 sedangkan satu kilo gula RM2.80.

"Jadi satu kilo getah sekerap tak boleh beli gula, jadi macam mana (nasib pengusaha getah apabila) gula pun tidak mampu beli?," katanya dalam satu sidang media pagi ini.

Tambahnya, perhimpunan itu dirancang bermula pada jam 5 petang dan berakhir jam 12 tengah malam akan diikuti dengan ceramah berhubung ekonomi berasaskan getah.

Katanya, perhimpunan itu akan menggariskan lima tuntutan utama:

  • Memberi kuasa pada Lembaga Getah Malaysia mendapatkan dokumen kontrak syarikat yang menjadi rujukkan harga purata getah.
  • Menetapkan harga asas yang munasabah bagi pekebun kecil getah.
  • Menyelaras harga kos atau harga kilang pada aras RM1 bagi setiap kilogram getah.
  • Mengkaji kesesuaian pekebun menanggung kos penyelidikan dan kos tanaman semula dengan harga getah yang sangat rendah.
  • Memberi bantuan jangka pendek kepada pekebun kecil getah seluruh negara.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS