Mursyidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat meminta setiap keluarga penumpang pesawat MH370 supaya bertenang dan bersabar berdepan dengan musibah yang dilalui.
Katanya, insiden yang berlaku itu membuktikan betapa kerdilnya manusia dan teknologi terkini pun tidak boleh mengatasi ketentuan Allah apabila tiba waktunya, lapor Harakahdaily .
"Sebutlah Innalillah... untuk meredakan keresahan jiwa bahawasanya kita adalah milik Allah Taala. Andainya Allah nakkan kita hidup, hiduplah kita dan begitulah sebaliknya.
“Insya-Allah kita berdoa semoga mangsa diampunkan dosa-dosa mereka dan kita juga sewaktu hidup hendaklah sentiasa berdoa semoga kita mati dalam keadaan baik,” katanya seperti dilapor portal itu.
Malam tadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan, bukti-bukti sedia ada mencadangkan kedudukan terakhir MH370 di pertengahan Lautan Hindi, di sebelah Barat Perth, Australia.
Laporan lidah rasmi PAS itu juga menyebut, Nik Abdul Aziz turut mengucap takziah kepada keluarga mangsa MH370 dan berasa sedih terhadap berita terbaru itu selepas penantian 17 hari.
"Saya berharap keluarga mangsa di seluruh dunia bersabar menerima takdir yang berlaku,” katanya.