Tiga pemimpin kanan PKR dilarang memasuki Sarawak, dipercayai bagi berkempen membantu calon PKR Abdul Jalil Bujang dalam pilihan raya kecil DUN Balingian 29 Mac ini.
Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil berkata Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution dihalang setelah sampai di lapangan terbang Sibu pada jam 11 pagi tadi.
Manakala Pengarah Stategi PKR Rafizi Ramli dalam tweetnya sebentar tadi berkata, beliau dan Naib Presiden PKR Tian Chua turut mengalami nasib sama.
“Saya dan @tianchua sedang ditahan di pejabat imigresen Sibu. Akan dihantar balik selepas ini, dihalang masuk Sarawak,” tulisnya.
Fahmi sebelum ini dalam kenyataannya sebelum ini mendakwa, satu arahan dikeluarkan oleh Pejabat Ketua Menteri Sarawak pada 22 Mac untuk menyekat Saifuddin memasuki Sarawak.
"Datuk Saifuddin ( kanan ) kini sedang menunggu penerbangan balik ke Kuala Lumpur," kata Fahmi dalam kenyataan medianya pada tengah hari ini.
Sehubungan itu, Fahmi berkata PKR mengecam sekeras-kerasnya tindakan yang dianggap tidak demokratik ini dan mendakwa pengaruh politik kuku besi bekas ketua menteri Tan Sri Taib Mahmud masih berleluasa walaupun telah bertukar ganti.
"Dan pengaruh ini terus merencatkan perkembangan demokrasi di bumi Sarawak," katanya.
Kelmarin PKR Sarawak melahirkan rasa bimbang sekiranya pihak berkuasa negeri itu merancang melarang Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada berkempen untuk pilihan raya kecil tersebut.
Naib Pengerusi PKR negeri See Chee How berkata jika pihak berkuasa negeri mengenakan larangan terhadap Anwar dan pemimpin PKR yang lain, pihaknya tidak akan teragak-agak untuk menggunakan saluran undang-undang.