Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek gusar dengan kejatuhan dua anak tangga ke tempat 147 dalam indeks kebebasan akhbar berbanding tahun lalu seperti yang diumumkan Wartawan Tanpa Sempadan (RSF), Paris, Februari lalu.

"(Indeks kebebasan akhbar) kita merosot. Saya bimbang, (jatuh) daripada 145 kepada 147. Macam mana, kita sudah terbuka dah. Misalnya dulu kena permit akhbar setiap tahun sekarang tak ada lagi.

"Secara automatik permit itu diluluskan kecuali yang didapati melanggar peraturan. Tak ada lagi semestinya memperbaharui permit setiap tahun pada akhbar berkenaan.

"Ini antara perkara yang dianggap progresif (yang dibuat), tetapi ranking kita jatuh," katanya ketika menjawab ke atas perbahasan titah diraja bagi kementeriannya hari ini.

Sebelum ini, RSF mengumumkan Malaysia kini berada di kedudukan 147 daripada 180 negara dan kedudukan itu meletakkannya bawah negara lain yang kurang membangun seperti Bangladesh (146), Myanmar (145) dan Cambodia (144).

Sehubungan itu, dalam ucapannya juga, Ahmad Shabery turut menepis tanggapan umum bahawa kerajaan adalah musuh kepada kebebasan akhbar dengan menegaskan ia "tidak semestinya betul".

Ini kerana, katanya, terdapat negara yang tidak mengenakan permit seperti Filipina dan Indonesia tetapi kedudukan dua negara itu berada bawah atau "tidaklah tinggi" daripada Malaysia.

Sebaliknya, kata Ahmad Shabery, kebebasan akhbar itu tidak hanya dilihat berkaitan dengan permit sahaja, tetapi melibatkan suasana kerja, keyakinan, rasa bebas atau tidak seorang pemberita dalam membuat liputan.

Malah, katanya tindakan parti politik yang tidak membenarkan Utusan Malaysia dan TV3 membuat liputan sidang media parti dan usaha campur tangan untuk menukar tajuk utama akhbar Sin Chew Jit Poh pada bulan lalu antara penyumbang ke arah kejatuhan indeks itu.

"Misalnya di negeri itu, sekejap, sekejap kena saman, sekejap kena saman. You ask , I saman. Sikit-sikit nak saman,” katanya.

"Itu pun tak kena mengena dengan kerajaan... Ini belum ada kuasa.”


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS