Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Kos dan perbelanjaan yang diperuntukkan untuk kempen dan iklan cukai perkhidmatan dan perkhidmatan (GST) yang akan dilaksanakan pada 1 April 2015 mencecah RM365 juta.

Perkara itu dinyatakan oleh Menteri Kewangan Datuk Seri Najib Razak dalam jawapan bertulisnya bagi menjawab pertanyaan Khalid Samad (PAS-Shah Alam) berhubung kos kempen dan iklan cukai itu.

Dalam jawapan bertulisnya, Najib yang juga perdana menteri berkata perbelanjaan yang telah dan akan dilakukan kerajaan berhubung kempen itu merangkumi:

i) RM98 juta untuk sistem perkomputeran GST yang siap dibangunkan oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia bagi 2013/2014.

ii) RM150 juta penyediaan perisian perakaunan bersubsidi kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) sedang diuruskan oleh kastam - meliputi RM125 juta pada 2014 dan RM25 bagi tahun berikutnya.

iii) RM100 juta bagi geran latihan kepada peniaga yang diuruskan oleh Kementerian Kewangan yang meliputi RM50 juta pada 2013 dan RM50 juta untuk tahun ini.

iv) RM17 juta bagi program publisiti melalui media arus perdana dan media sosial - akhbar, televisyen, radio dan papan tanda, laman web, blog, Twitter dan Facebook - yang diuruskan oleh Kementerian Kewangan pada 2012-2014.

Sebelum ini, Khalid yang juga ahli jawatankuasa Pusat PAS membangkitkan perkara sama dalam sidang medianya pada Februari lalu.

Sementara itu, dalam sidang medianya di lobi parlimen hari ini, Khalid mengkritik kos kempen cukai itu yang ditanggung dan menurutnya akhirnya membebankan rakyat.

"Belum apa-apa lagi, kerajaan nak kena tanggung RM365 juta untuk nak laksanakan GST. Ini duit rakyat, dan akhirnya digunakan untuk membebankan rakyat.

"Kita semua kena terima hakikat bahawa sistem GST yang nak laksanakan, sebab kerajaan nak dapat pendapatan daripada rakyat yang lebih tinggi dijangkakan RM25 bilion setahun," katanya.

Khalid turut mengkritik kempen GST di media massa yang dianggapnya cuba "mengelirukan" rakyat apabila menguar-uarkan barangan yang tidak dikenakan GST.

"Dalam kempennya semuanya diberikan gambaran bahawa GST tak bebankan rakyat. dia utarakan barang yang tidak dikenakan GST.

"(Kempen itu kata) untungnya laksana GST kerana banyak benda tak kena GST. Apa punya logik ini... Cara dia kempen, mengelirukan rakyat," bidas Khalid.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS