Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Rasmi: PKR kekal Kajang, majoriti kurang
Diterbitkan:  Mar 23, 2014 6:25 PM
Dikemaskini: 2:27 PM

Peti undi mula dibawa masuk ke pusat penjumlahan di Kompleks Sukan Bandar Baru Bangi, yang dikawal ketat oleh pasukan keselamatan.

Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya, keputusan bagi pilihan raya kecil DUN Kajang dijangka akan dapat diketahui seawal jam 9 malam.

Jumlah keseluruhan yang keluar mengundi hari ini adalah 72 peratus, lebih rendah dari angka 87 peratus yang direkodkan dalam pilihan raya umum 5 Mei tahun lalu.

LAPORAN LANGSUNG

9.10pm: Pengurus pilihan raya Hassan Nawawi mengumumkan Wan Azizah Wan Ismail sebagai ADUN Kajang.

9.05pm Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata terdapat peningkatan undi daripada kaum Cina kepada BN dalam pilihan raya kecil DUN Kajang berbanding pada pilihan raya umum ke-13.

Menurutnya sokongan kaum Cina meningkat 9 peratus iaitu 16 peratus dalam pilihan raya umum ke-13 kepada 25 peratus dalam pelihan raya kecil itu.

"Ini satu perlu permulaan yang baik untuk kami bersatu. Kami perlu bekerja lebih kuat, memulihkan kelemahan dan memperkukuhkan parti," katanya kepada pemberita di Kampung Bukit Angkat.

Liow bagaimanapun mengakui bahawa mereka kehilangan undi daripada pengundi muda dalam pilihan raya kecil ini.

"MCA berjanji akan tranformasi untuk memperkukuhkan parti. Sokongan yang diberikan memberi semangat untuk kami terus bekerja," katanya.

Sebelum itu, Ketua Wanita MCA Datuk Heng Saie Kie mengakui peningkatan pengundi Cina lebih 9 peratus yang disifatkannya sebagai "tanda positif", tetapi undi daripada kaum Melayu berkurangan.

Beliau menjelaskan faktor bangsa menjadi alasan mengapa perkara itu berlaku.

"Mungkin faktor calon Wan Azizah Wan Ismail yang tidak ada isu menyebabkan hal itu (undi Melayu berkurangan) berlaku," katanya.

Sementara itu, ura-ura yang menyebut Najib yang dijadualkan ke Kg Bukit Angkat pada malam ini tidak menjadi kenyataan.

9.01pm RASMI:

PKR - 16,741

BN - 11,362

 

Majoriti - 5,379

9pm Pusat operasi MCA Sungai Chua - naib presiden MCA Chew Mei Fun menerima kekalahan di DUN Kajang.

Beliau mengucapkan tahniah kepada presiden Wan Azizah.

Bagaimanapun, MCA mencapai dua sasaran - untuk mengurangkan majoriti PKR dan meningkatkan sokongan masyarakat Cina kepada MCA, katanya.

8.53pm Wan Azizah tiba di pusat penjumlahan dan SPR dijangka akan mengumumkan keputusan rasmi.

Petugas TNB dilihat berada di kawasan ini bagi mengelakkan berlaku kejadian bekalan elektrik putus.

8.52pm Bilik gerakan PKR -  Fahmi Fadzil berkata PKR secara tidak rasmi berjaya menang atau mengurangkan majoriti empat kawasan kubu kuat Umno sebelum ini.

Menurut beliau PKR merampas daerah mengundi Sg Sekamat dengan 45 undi (sebelum ini tewas dengan 239 undi) dan juga daerah mengundi Taman Delima dengan 3 undi (sebelum ini tewas dengan 123 undi).

"Di Sg Kantan dulu kita kalah 420 undi tetapi sekarang berkurang kepada 225 manakala di Daerah Mengundi Batu 10 Cheras (157) sekarang berkurang kepada 151," kata beliau.

8.40pm Tak rasmi dari sumber PKR:

PKR - 16,770

BN - 11,401

Majoriti - 5,369

Ini jumlah meliputi kesemua 88 saluran dan 72 peratus yang keluar mengundi.

Jumlah majoriti berkenaan menunjukkan ia merosot sebanyak 1,455 undi.

Calon PKR memenangi kerusi tersebut dalam pilihan raya umum ke-13 dengan majoriti 6,824, dengan 88 peratus keluar mengundi.

8.38pm Kira-kira 150 penyokong BN termasuk pengamal media berhimpun Kg Bukit Angkat untuk menikmati satay dan nasi lemak.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dijangka akan hadir ke sini bersama penyokong. Setakat tidak pasti sama ada beliau akan kekal dengan rancangan tersebut.

8:32pm Tak rasmi dari sumber MCA:

PKR: 16,581

BN: 11,242

Majoriti: 5,339

8.15pm Bilik gerakan undi PKR - Suasana meriah dengan kumpulan ahli berhimpun menunggu kemaskini keputusan tidak rasmi pilihan raya kecil Kajang di sini.

Beberapa pemimpin utama parti, termasuk calon PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail, menteri besar Tan Sri Khalid Ibrahim telahpun bertolak ke stadium Majlis Perbandaran Kajang.

Sementara itu pengarah strategi PKR Rafizi Ramli ketika ditemui berkata beliau gembira dengan keputusan tidak rasmi ini kerana berjaya memenangi dua kawasan Melayu yang tewas sebelum ini iaitu Taman Delima dan Sg Sekamat.

"Kalau ikut peratusan kita menang lebih besar walaupun majoriti kita berkurang. Ini kerana peratusan keluar mengundi yang rendah," kata beliau.

8pm Tak rasmi dari sumber MCA:

PKR - 16,086

BN - 10,407

Majoriti: 5,679

Dalam pada itu, difahamkan, calon PKR akan bergerak menuju ke pusat pengiraan undi dari Surau Ibnu Sina di Seksyen 15, Bandar Baru Bangi.

Kesesakan lalulintas turut berlaku apabila polis membuat sekatan jalan raya di Jalan Reko, kira-kira 2km dari pintu utama UKM.

Polis turut menutup jalan utama dari satu bulatan menuju ke pusat penjumlahan undi di Kompleks Sukan Bandar Baru Bangi - menyebabkan berlaku kesesakan sepanjang 1km.

Polis menggesa orang ramai yang ingin bersama calon ke pusat penjumlahan itu untuk meletak kenderaan di bahu jalan dan berjalan kaki.

7.35pm Pengarah komunikasi PKR Fahmi Fadzil umum PKR menang di dua kawasan majoriti Melayu - Sekamat dan Taman Delima. PKR tewas di kedua-dua kwasan tersebut dalam pilihan raya umum ke-13.

7.30pm Tak rasmi:

PKR - 15,055

BN - 9,628

Majority - 5,427

Kira-kira 88 peratus undi telah dikira.

PKR nampaknya mengekalkan kerusi DUN Kajang dengan majoriti berkurangan sebanyak kira-kira 1,000 undi.

7.14pm Tak rasmi dari sumber MCA:

PKR - 13,414

BN - 8,226

Ini adalah jumlah dari sekurang-kurangnya 80 peratus undi.

7.13pm Tak rasmi - Sumber PKR menunjukkan undi dari 55 telah dikira

PKR - 10,187

BN - 6,494

7.10pm Penyokong dan petugas parti kini masih ternanti-nanti dengan keputusan pilihan raya DUN Kajang. Mereka sedang mengira tally di Pejabat Umno Hulu Langat di Pekan Kajang.

Antara pemimpin yang hadir di sini ialah Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adanan Tengku Mansor, SUK Umno Datuk Rauf Yusoh dan Ketua Bahagian Umno Datuk Johan Abdul Aziz.

7.05pm Tak rasmi - Jumlah undi setakat dari 53 saluran:

PKR - 10,070 BN

BN - 6,145

Majoriti - 3925

6.56pm Tak rasmi - Jumlah undi dari 52 saluran diperolehi

PKR - 9,892

BN - 6,075

Majoriti - 3,817

6.53pm Tak rasmi - Jumlah undi dari 48 saluran diperolehi:

PKR - 9,257

BN - 5,448

Majoriti - 3,809

6.42pm Tak rasmi - Sumber PKR memberi angka menunjukkan parti itu semakin mendahului berdasarkan undi dari 45 saluran.

PKR - 8,847

BN - 5,260

Majoriti - 3,587

6.35pm Tak rasmi dari sumber PKR - Keputusan dari 39 saluran:

BN - 4,361

PKR - 7,514

6:30pm Tak rasmi - Keputusan dari 31 saluran diperolehi

PKR - 5,242

BN - 3,429

6.15pm Tak rasmi - Pengarah komunikasi PKR Fahmi Fadzil umum parti itu menguasai pilihan raya kecil DUN Kajang, berdasarkan pengiraan awal:

PKR - 4,239 undi

BN - 1,617

Majoriti - 2,622

Keputusan itu berdasarkan 26 dari 88 saluran pengundian, atau 33 peratus dari jumlah undi.

[Baca berita penuh ]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS