Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Penduduk Maldives dakwa nampak jet terbang rendah

Ketika pencarian multinasional kehilangan pesawat penerbangan Malaysia Airlines (MAS) diperhebatkan, sebuah portal berita dari Maldives melaporkan bahawa penduduk mendakwa melihat sebuah jet terbang rendah pada 8 Mac, iaitu hari pesawat Boeing 777-ER, lenyap.

    

Penduduk di kawasan pedalaman pulau Maldives, Kuda Huvadhoo di Dhaal Atoll mendakwa melihat sebuah pesawat terbang rendah pada hari pesawat MAS penerbangan MH370 dari Kuala Lumpur ke Beijing hilang daripada radar, menurut laman web Haveeru.

    

Ia menyebut penduduk Kuda Huvadhoo memberitahu laman web berkenaan pada Selasa bahawa mereka melihat pesawat itu pada 6.15 pagi pada 8 Mac.

    

Mereka berkata bahawa ia adalah pesawat putih dengan jalur merah merentasinya - iaitu sebagaimana menyerupai pesawat MAS, lapor laman web itu.

    

Para saksi dari Kuda Huvadhoo bersetuju bahawa kapal terbang itu dalam perjalanan utara ke tenggara, menuju ke penghujung selatan Maldives -Addu, menurut laporan itu.

Mereka juga menyatakan bahawa bunyi yang amat kuat didengari daripada pesawat berkenaan ketika terbang melintasi pulau berkenaan, tambahnya.

    

"Saya tidak pernah melihat jet terbang begitu rendah di atas pulau kami sebelum ini. Kami melihat pesawat laut, tetapi saya pasti ia bukan sebuah daripadanya. Saya juga boleh melihat pintu pesawat itu dengan jelas," menurut saksi sebagaimana dilaporkan.

    

"Bukan saya sahaja, malah beberapa penduduk yang lain melaporkan melihat benda sama dengan jelas. Sesetengah orang keluar juga dari rumah mereka untuk melihat apa yang menyebabkan bunyi yang amat kuat itu," kata saksi kepada Haveeru.

    

Ahli Majlis pulau Kuda Huvadhoo Mohamed Zaheem berkata penduduk pulau telah bercakap mengenai insiden berkenaan.

    

Seorang pakar penerbangan tempatan memberitahu Haveeru bahawa ia 'mungkin' bagi MH370 untuk terbang melepasi Maldives. Kemungkinan mana-mana pesawat terbang di atas pulau itu pada masa yang dilaporkan adalah amat rendah, menurut pakar.

    

Pesawat MAS MH370 penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing bersama 239 penumpang dan anak kapal hilang, selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, pada 8 Mac. Penyiasat memberitahu bahawa ia sengaja dilencongkan daripada laluanya.

    

26 negara kini membantu untuk mengesan pesawat berkenaan selepas satelit dan data radar tentera meramalkan ia mungkin terbang melalui dua koridor yang besar.

    

Koridor utara terbentang dari utara Thailand ke sempadan Kazakhstan dan Turkmenistan manakala koridor selatan bermula dari Indonesia ke selatan Lautan Hindi.

    

Data satelit mencadangkan bahawa 'ping' terakhir, istilah yang digunakan untuk menjelaskan penghantaran data dalam bentuk isyarat pendek kepada satelit, diterima daripada pesawat berkenaan di sekitar Lautan Hindi.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS