Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Ezam pengarah komunikasi Kementerian Kewangan

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Menteri Kewangan, melantik Mohamad Ezam Mohd Nor sebagai Pengarah Komunikasi di Kementerian Kewangan berkuat kuasa 15 Mac 2014.

Mohamad Ezam dilantik sebagai Pengarah setelah melepaskan jawatannya sebagai Ahli Dewan Negara yang disandangnya sejak 2010, pada 5 Mac lalu, kata Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan akhbar hari ini.

"Tugas utama beliau ialah membantu Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan dalam menangani isu-isu berkaitan langkah-langkah transformasi ekonomi yang dilaksanakan oleh Kerajaan dengan lebih rancak, bermula tahun ini dan beberapa tahun akan datang," katanya.

Mohamad Ezam, 47, berkelulusan Sarjana Muda Ekonomi dari Universiti Islam Antarabangsa.

Beliau juga pernah berkhidmat di Kementerian Kewangan sebagai Setiausaha Politik Menteri Kewangan pada tahun 1996 hingga 1998.

Mohamad Ezam juga sebelum ini pernah mengasaskan organisasi badan bukan kerajaan (NGO) anti rasuah iaitu Gerakan Demokrasi dan Anti-Korupsi (Gerak) dan dilantik oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong tahun lalu sebagai Ahli Jawatankuasa Khas Parlimen mengenai rasuah.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS