Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kementerian cadang perketat permit konsert
Diterbitkan:  Mar 17, 2014 7:00 PM
Dikemaskini: 11:26 AM

Kementerian Belia dan Sukan merancang memperketat pemberian permit konsert ekoran insiden kematian yang dikaitkan dengan dadah dalam sebuah konsert di Bukit Jalil, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Menterinya Khairy Jamaludin ( kiri ) berkata, untuk tujuan itu, pihaknya akan berbincang dengan Kementerian Dalam Negeri dan agensi lain kerajaan.

“Kami akan mengkaji setiap aspek penganjuran agar konsert dalam negara pada masa depan bebas daripada gejala penyalahgunaan dadah dan maksiat.

“Kita tidak boleh membiarkan kejadian ini berlalu begitu sahaja dengan potensi untuk berulang,” katanya.

Bernama melaporkan, enam maut dan 14 individu dirawat di hospital dipercayai akibat dadah ketika menghadiri konsert Festival Future Music Asia 2014 yang berlangsung pada 13-15 Mac.

Polis dilapor menahan 29 individu pelbagai warga yang disyaki terlibat dalam kegiatan dadah di konsert berkenaan.

Khairy juga menyangkal dakwaan yang mengaitkannya dengan penganjur walaupun pihak berkenaan pernah datang ke pejabatnya untuk memaklumkan perkara itu.

“Saya kata jika mereka mendapat semua kelulusan permit yang diperlukan, mereka boleh mohon kepada Perbadanan Stadium Malaysia (PSM).

“Apabila PSM menyewa premis kepada mana-mana penganjur, aspek keselamatan adalah tanggungjawab penganjur,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS