Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan mahu pengundi Cina di Kajang mengundi calon MCA yang mampu memberi lebih keuntungan kepada DUN itu.

Menurut Ahmad masyarakat Cina mementingkan 'untung' maka undian kepada calon BN Chew Mei Fun mampu membawa keuntungan tersebut.

"Orang Cina pilih untung. Meniaga mahu untung, politik pun mahu untung," kata beliau selepas mengunjungi masyarakat di Pasar Malam Kampung Baru Sg Chua hari ini.

Menurut Ahmad Maslan, Chew mempunyai kelebihan besar berbanding calon PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang tiada hubungan dengan kerajaan pusat.

"Pengundi Cina di sini perlu ingat Chew Mei Fun dibantu dan didokong perdana menteri, timbalan perdana menteri dan menteri-menteri.

"Wan Azizah tidak ada hubungan langsung dengan kerajaan pusat. Yang dapat peruntukan besar ialah Chew Mei Fun yang ada peruntukan dari Kementerian Kewangan," kata beliau yang juga timbalan menteri kewangan.

Ahmad hari ini mengiringi Chew ke beberapa kawasan untuk mengedar risalah BN kepada pengundi.

Mereka menghabiskan masa kira-kira 30 minit melawat setiap gerai jualan dan bertemu dengan peniaga dan pengunjung yang lalu di situ.

Mereka turut memberikan risalah kepada beberapa kenderaan yang lalu lalang di kawasan tersebut bagaimanapun beberapa pemandu enggan membuka tingkap untuk beramah mesra bersama Ahmad dan Chew.

Pengundi Kajang bakal memilih Adun baru 23 Mac depan selepas penyandang Lee Chin Cheh meletak jawapan pada 27 Januari lalu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS